suria

Senarai Wanita Isi Jawatan Tinggi Korporat Sedang Disediakan

IPOH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menyenaraikan calon-calon yang berkelayakan, berpengalaman dan berkemahiran bagi memegang jawatan dalam peringkat membuat keputusan di sektor korporat menjelang 2016, kata Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata ramai calon yang memenuhi kriteria bagi mengisi jawatan-jawatan tersebut telah dikenalpasti dan mereka mampu menggalas cabaran yang diberikan itu.

"Jika di lihat pada masa ini, terdapat ramai wanita yang bertugas di pelbagai sektor tetapi tidak berpeluang untuk ke peringkat membuat keputusan.

"Banyak kajian yang dibuat sebelum ini juga mendapati keputusan yang dibuat bersama wanita mempunyai hasil yang amat baik kerana jumlah mereka yang bertugas di sektor ini agak ramai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Logo dan Kempen-Kempen Hal Ehwal Wanita Negeri Perak di sini Khamis.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sektor korporat mesti melantik sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat membuat kata putus menjelang tahun 2016.

Shahrizat berkata dengan peluang yang diberikan itu lebih ramai wanita akan dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Selain memastikan kepakaran, persaingan dan kemahiran kepimpinan di kalangan wanita digunakan dengan optimum, langkah ini juga boleh membawa kepada kepelbagaian yang baik dan sifat inklusif di lembaga pengarah, katanya.

Tambahnya, bagi memenuhi tempoh lima tahun yang diberikan itu pihaknya telahpun memulakan perancangan dan akan menyiapkan senarai calon untuk diserapkan ke jawatan-jawatan tersebut.- BERNAMA

Artikel Lain