suria

'Saya Juga Boleh Buka Akaun Facebook Raih Sokongan Kepada PM':Adnan

RAUB: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata beliau juga boleh membuka akaun di laman sosial Facebook bagi mengumpul berjuta-juta penyokong untuk mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, dakwaan pihak-pihak tertentu yang kononnya berjaya mengumpul 100,000 penyokong di laman sosial Facebook bagi menuntut Perdana Menteri berundur bukanlah memberi gambaran sebenar majoriti rakyat negara ini.

"Saya juga boleh buat tindakan yang sama dengan mengumpul lebih tiga juta penyokong meminta supaya Perdana Menteri jangan letak jawatan..," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Bersama Penduduk Daerah Raub, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pihak tertentu yang kononnya berjaya mengumpul beratus ribu suara rakyat yang mendesak Perdana Menteri berundur di laman sosial berkenaan pada Sabtu lepas iaitu pada hari perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kewujudan laman sosial itu boleh dipertikai dari segi kesahihan jumlah sebenar rakyat yang didakwa meminta Perdana Menteri supaya berundur.

Menurut beliau, tuntutan yang dibuat melalui laman sosial Facebook dan perhimpunan haram jalanan bukan cara sebenar untuk menjatuhkan kerajaan.

"Pembangkang sebenarnya mempunyai banyak masa untuk berkempen dan boleh dikatakan setiap hari mereka berkempen untuk menjatuhkan kerajaan melalui pembohongan, menyebar fitnah dan mengeksploitasi isu yang ada untuk memburukkan kerajaan.

"Antaranya ialah mereka mengeksploitasi gambar polis membuat latihan bagi menyurai dan menghadapi perhimpunan haram Bersih dengan menyebar fitnah gambar tersebut kononnya polis bertindak kejam terhadap mereka yang menyertai perhimpunan tersebut," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Barisan Nasional Pahang mahu semua pemimpin parti komponen turun padang bagi menjelaskan segala tohmahan dan fitnah yang disebarkan pihak pembangkang.

"Rakyat dan semua pihak di peringkat akar umbi perlu diberikan penerangan yang jelas agar mereka memahami peranan serta tanggungjawab kerajaan Barisan Nasional," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain