suria

Pengurus Dana Diminta Manfaatkan Pasaran Modal Malaysia

LONDON: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis, menyeru pengurus dana global supaya mengambil kesempatan terhadap pelbagai peluang yang muncul daripada perkembangan dalam pasaran modal Malaysia.

Berucap pada majlis meja bulat pasaran modal yang dianjurkan pada hari ketiga lawatan rasmi beliau ke United Kingdom, beliau berkata pasaran modal maju mempunyai peranan penting untuk dilaksanakan dalam usaha Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

"Anda semua di sini hari ini sebagai pengurus dana global mempunyai kepakaran yang kami perlukan dan anda semua boleh memainkan peranan yang bermakna dalam membantu kami mencapai kejayaan masa depan kami," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Najib, yang memulakan lawatan pada Selasa, mengambil peluang berkenaan untuk menjelaskan mengenai perkembangan dalam persekitaran pasaran modal Malaysia.

Najib berkata Malaysia hari ini mempunyai satu daripada pasaran modal yang paling komprehensif di rantau berkenaan dengan gabungan pasaran ekuiti dan hutangnya berkembang daripada US$240 bilion pada 2000 kepada US$667 bilion pada 2010.

Ia dijangka meningkat tiga kali ganda kepada antara US$1.5 trilion dan US$1.9 trilion pada 2020.

Perdana Menteri berkata Program Transformasi Ekonomi negara akan terus mewujudkan momentum pertumbuhan dan membuka peluang untuk penerbit, perantara dan pelabur.

Bercakap kepada anggota kanan institusi kewangan utama London, Najib berkata Malaysia mempunyai ekonomi yang meluas dan pelbagai untuk membina pasaran modalnya.

Sejak bertahun, kata beliau, syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana Malaysia dalam industri daripada pertanian, sumber asli, pembuatan dan perkhidmatan telah menyediakan banyak peluang menarik untuk para pelabur jangka panjang.

Najib berkata, sejak 10 tahun lepas, sebanyak 241 syarikat tersenarai awam (PLC) atau kira-kira suku daripada syarikat tersenarai dapat mencapai pertumbuhan permodalan pasaran lebih 10 peratus setahun.

"Trend sejarah menunjukkan pasaran modal Malaysia mencapai kematangan, pertumbuhan dalam pasaran derivatif dan hutang akan mengatasi pertumbuhan dalam pasaran ekuiti," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berkemungkinan mengulangi corak ini di pasaran maju di mana dana institusi mengatasi ekonomi dengan pantas.

Aset di bawah projek-projek pengurusan diunjur meningkat lebih daripada 15 peratus setiap tahun, daripada US$126 bilion pada 2010 kepada US$530 bilion pada 2020.

Kadar penembusan industri saham amanah dijangka hampir berganda daripada 18 peratus kepada 34 peratus dalam tempoh yang sama, yang menunjukkan bahawa permintaan kukuh bagi perhidmatan pengurusan pelaburan dan aset kualiti akan menyokong pertumbuhan pasaran modal Malaysia.

Menyentuh mengenai peluang dalam kewangan Islam, Najib berkata Malaysia menjadi tumpuan kepada pasaran kewangan dan perbankan Islam terbesar dunia, menguasai 66 peratus penerbitan sukuk global tahun lepas dan mempunyai 184 dana dengan US$8 billon dalam aset bawah pengurusan.

"Dalam tempoh 10 tahun akan datang, pasaran modal Islam kami, yang telah bernilai US$370 billion, bersedia untuk meningkat tiga kali ganda dalam nilai kepada US$970 bilion," katanya.

Najib berkata Malaysia mahu mengukuhkan infrastruktur perkhidmatan bagi memudahkan lagi aliran rentas sempadan perkhidmatan dan produk Islam, menggalakkan pertumbuhan bidang aktiviti nilai tinggi dan menarik golongan yang berkemahiran tinggi dalam usaha membina industri pengurusan dana Islam.

Mengenai peluang daripada pertumbuhan serantau, beliau berkata Menteri-menteri Kewangan Asean dan pengawal atur sekuriti serantau melaksanakan inisiatif untuk menggalakkan integrasi yang lebih luas dalam pasaran modal serantau.

Beliau berkata standard bagi tawaran rentas sempadan telah diwujudkan, manakala pelbagai inisiatif bursa serantau bagi penjenamaan Asean sebagai kelas aset telah ada.

Langkah seterusnya dalam perancangan termasuk saling hubungan bursa, penyenaraian bersilang dan pengiktirafan bersama pendaftaran prospektus serta skim pelaburan kolektif.

"Melangkaui Asean, Malaysia menjadi pasaran baru muncul pertama yang diiktiraf sebagai destinasi pelaburan yang diluluskan mengikut skim pelabur institusi domestik berkelayakan China," kata Najib pada majlis berkenaan.

Syarikat-syarikat Asia juga digalakkan untuk menggunakan Malaysia sebagai pangkalan bagi pengembangan serantau mereka, sama ada melalui pakatan strategik atau melalui permohonan penyenaraian di Bursa Malaysia, kata beliau.- BERNAMA

Artikel Lain