suria

Lebih Ramai Pakar Hepatologi Di Hospital Kerajaan:Liow

PETALING JAYA: Lebih ramai pakar hepatologi akan ditempatkan di hospital-hospital kerajaan berikutan peningkatan kes berkaitan penyakit hati setiap tahun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata khidmat pakar hepatologi perlu ditambah kerana pada masa ini hanya terdapat empat pakar hepatologi di Hospital Selayang selain beberapa doktor yang mengikuti latihan kepakaran dalam bidang itu.

"Setakat ini, kita hanya mempunyai sembilan doktor bedah (Hepatologi) di bawah kementerian termasuk lima doktor pelatih pakar...kita masih memerlukan banyak lagi doktor pakar tempatan untuk ditempatkan di hospital-hospital lain," katanya.

Menurutnya pada masa ini, hospital Melaka, Pulau Pinang, Alor Setar, Kuala Terengganu dan Kuching menyediakan perkhidmatan hepatologi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan '9th Liver Update - Hepatobiliary Medicine - Charting The Course' anjuran Yayasan Hati Malaysia (MLF) di sini, Khamis.

Liow berkata Hospital Selayang menyediakan perkhidmatan untuk rawatan penyakit hati serius manakala hospital lain menyediakan rawatan biasa bagi penyakit itu.

Menurutnya program Vaksin Hepatitis B, yang bermula pada 1989 untuk bayi, dapat mengurangkan kadar penyakit hepatologi dari 1.7 peratus pada 1985-1989 kepada 0.3 peratus dari 1999-2000.

"Kita boleh menyembuhkan seorang (Hepatitis B) tetapi penyakit hati berlemak semakin meningkat. Hati berlemak adalah sesuatu yang kita mesti tangani, ia lebih kepada gaya hidup, tabiat pemakanan, diet yang seimbang dan kita harus memastikan rakyat kita mempunyai diet yang sihat dan memastikan mereka melakukan senaman," katanya.

Ketika ditanya mengenai statistik penyakit hati berlemak, Liow berkata keadaan itu boleh dirujuk kepada peningkatan obesiti di kalangan masyarakat masa kini.

Sementara itu, beliau mempelawa orang awam untuk berkunjung ke 'KL Hepatitis Day' anjuran MLF di Sunway Resort Hotel and Spa mulai 2.30 petang Ahad ini untuk mendapatkan rawatan 'screening' secara percuma dan 'Hepatitis A and B Vaccinations' pada harga subsidi.

Dalam perkembangan lain, Liow menafikan dakwaan bahawa gas pemedih mata dan meriam air, yang dilepaskan oleh polis untuk meleraikan perhimpunan haram Sabtu lepas, memasuki dalam Hospital Tung Shin.

Beliau berkata pihaknya akan menyiasat dengan lebih lanjut isu berkaitan termasuk laporan portal berita bahawa kononnya ia menerima surat daripada 11 doktor Hospital Tung Shin yang mendakwa polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah mereka.- BERNAMA

Artikel Lain