suria

Lebih Banyak Kempen Agresif Untuk Tarik Pelancong:Dr Ng

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata kementerian itu akan melancarkan lebih banyak kempen agresif dan promosi untuk membersihkan sebarang imej negatif ekoran perhimpunan haram yang diadakan di ibu negara, Sabtu lepas.

Beliau berkata disebabkan demonstrasi haram jalanan itu, kementeriannya terpaksa menggandakan usaha demi memastikan kedatangan pelancong tidak terjejas.

"Bagi kami, tugas kami sekarang adalah untuk segera menangani sebarang kebimbangan termasuk komen negatif dan memastikan industri pelancongan kita akan terus berkembang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Pelancongan Lukisan Kontemporari 1Malaysia (MCAT) 2011, di sini Khamis.

"Anda tidak boleh menafikan sudah pasti ada impak terhadap ekonomi untuk semua sektor, bagi kami, kami perlu memastikan industri pelancongan tidak terjejas dan dunia tidak beranggapan demonstrasi adalah sebahagian daripada kehidupan seharian kita," katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya dengan kempen yang sesuai, kehadiran pelancong antarabangsa akan stabil dalam tempoh singkat.

Sementara itu, berhubung penganjuran MCAT yang diadakan selama tiga bulan bermula bulan ini, Ng berkata program itu dianjurkan buat kali kedua selepas mendapat sambutan baik pada kali pertama penganjurannya tahun lepas.

"Kami merekodkan 42,000 pengunjung dan kira-kira RM14 juta dalam penjualan lukisan tahun lepas," katanya dan menambah program itu juga memberi peluang kepada artis dan pelukis tempatan lebih banyak pendedahan.

Berbanding tahun lepas, Ng berkata tahun ini acara adalah lebih besar dengan 16 program diatur di tujuh negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, beliau berkata beberapa pusat membeli belah di ibu negara turut menyertainya selain 100 galeri seni.

"Adalah menjadi harapan kami untuk menjadikan Malaysia dikenali dengan meluas sebagai satu destinasi yang bereputasi baik untuk peminat seni di rantau ini tidak lama lagi," tambah beliau.- BERNAMA

Artikel Lain