suria

Kualiti Udara Semakin Baik Di Seluruh Negara

PUTRAJAYA: Status kualiti udara di seluruh negara pada pagi ini telah bertambah baik.

Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 52 buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada pukul 7 pagi Khamis mencatatkan 23 kawasan berada pada tahap baik dan 29 kawasan berada pada tahap sederhana.

Tiada stesen berada pada tahap tidak sihat.

Bagaimanapun, JAS sentiasa mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara dan terus mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri dan menggerakkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Di samping itu, penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri-industri terus dipertingkatkan.

Dalam keadaan status kualiti udara yang tidak stabil dalam tempoh cuaca panas dan kering ketika ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka.

Orang ramai juga diminta berkerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

Artikel Lain