suria

Koleksi Setem Dan Filateli 10 Keindahan Istana Diraja Dijual Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh mendapatkan koleksi setem dan filateli Pos Malaysia terbaru yang memaparkan 10 keindahan istana-istana diraja di seluruh negara mulai minggu depan.

Pengurus Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Berhad Diyana Lean Abdullah berkata koleksi setem yang akan mula dijual kepada orang ramai Isnin ini bertujuan menghargai warisan institusi diraja Malaysia yang boleh diabadikan dalam bentuk setem.

"Setiap setem ini berukuran 32 mm x 27 mm dicetak sebanyak 10 setem dalam satu set, memaparkan 10 reka bentuk istana-istana diraja. Setiap setem itu bernilai masing-masing RM1.00," katanya dalam satu persidangan media di ibu pejabat Pos Malaysia di sini, Khamis.

Sepuluh istana itu terdiri daripada Istana Negara Kuala Lumpur; Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan; Istana Alam Shah, Selangor; Istana Iskandariah, Perak; Istana Arau, Perlis; Istana Anak Bukit, Kedah; Istana Balai Besar, Kelantan; Istana Abu Bakar, Pahang; Istana Maziah, Terengganu; dan Istana Besar, Johor.

Beliau berkata Pos Malaysia turut menyediakan sampul surat hari pertama yang berharga RM0.50 sekeping.

Sampul surat hari pertama ini akan dicetak 35,000 keping dan dijual kepada orang ramai pada 18 Julai sahaja mulai pukul 8.30 pagi hingga 5 petang di setiap pejabat pos di seluruh negara.

Selain itu, Pos Malaysia turut mengeluarkan buku setem yang mengandungi 10 keping setem koleksi reka bentuk istana dan 10 muka surat yang mengandungi maklumat sejarah reka bentuk istana, kesemuanya berharga RM25.00 sebuah.

Selain itu, folder berharga RM5.50 setiap satu mengenai keindahan istana ini akan dijual di pejabat pos yang terpilih sahaja.

Diyana juga berkata pada 8 Ogos ini Pos Malaysia akan mengadakan keluaran bersama negara Indonesia yang memaparkan empat reka bentuk setem dari kedua-dua buah negara itu.

"Empat reka bentuk setem itu mata wang kedua-dua negara, bangunan bersejarah, fauna dan setem pertama kedua-dua negara," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain