suria

Kementerian Akan Kaji Semula Pelaksanaan Pindaan Akta Sewa Beli

SHAH ALAM: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis berkata kementerian akan melihat semula beberapa aspek di dalam pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan 2010) yang berkuat kuasa bulan lepas.

Antara perkara yang mungkin dikaji semula ialah keperluan pihak yang ingin menjualkan kenderaan terpakai membayar fi sebanyak RM90 untuk pemeriksaan kenderaan berkenaan oleh Puspakom Sdn Bhd sebelum dijual, katanya kepada pemberita di sini.

Laporan akhbar sebelum ini berkata ada pihak yang mengatakan pemeriksaan yang dijalankan oleh Puspakom iaitu empat perkara bagi memastikan kereta itu bukan kereta curi atau kereta potong sebelum ini adalah memadai dan tambahan pemeriksaan 14 perkara pada sesuatu kenderaan untuk ciri keselamatan adalah membebankan penjual.

Bagaimanapun, beliau berkata kementeriannya akan memanggil pihak-pihak yang berkaitan seperti wakil industri permotoran sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata pindaan kepada Akta Sewa Beli itu adalah untuk melindungi kepentingan penggunan yang selama ini nampaknya diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata dengan adanya akta ini diharap urusan jual beli kenderaan terpakai lebih telus di mana segala perjanjian telah lengkap sebelum pembeli dan penjual menurunkan tandatangan dan tidak ada lagi kedengaran kes pembeli tidak diberikan kereta menurut spesifikasi atau warna yang dijanjikan.

Beliau juga berkata kerajaan sentiasa mencari jalan membantu rakyat dengan menjaga kebajikan rakyat menerusi pengenalan Kedai Rakyat 1Malaysia bagi memastikan mereka mampu mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih rendah ada di antaranya serendah 40 peratus daripada harga pasaran.

Ismail Sabri berkata: "Kita tidak boleh letak harga siling pada semua barangan kerana kalau letak harga siling pada semua barangan seolah-olah Malaysia tidak mengamalkan dasar perdagangan bebas."

Selain daripada itu kementerian merancang untuk membekalkan kepada pekedai-pekedai runcit terutamanya di pangsapuri-pangsapuri di sekitar Lembah Klang barangan jenama 1Malaysia untuk dijual kepada penduduk di sana, katanya.

Ismail Sabri berkata pada Khamis beliau akan bertemu dengan 113 pekedai runcit bagi membincangkan perkara itu.

Terdahulu, beliau menyaksikan acara penyerahan zakat bernilai RM888,000 kepada 8,880 murid-murid daripada 145 sekolah rendah dan 29 sekolah menengah di Selangor yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Kamaruzaman Che Mat kepada Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor Mahmud Karim.- BERNAMA

Artikel Lain