suria

Inkues Ahmad Sarbaini: Rakan Kerja Kata Allahyarham Seorang Yang Tenang

KUALA LUMPUR: Tiga pegawai Kastam yang memberi keterangan pada prosiding inkues menyiasat punca kematian Ahmad Sarbaini Mohamed menyifatkan Allahyarham seorang yang tenang, penyabar serta tidak mudah melatah.

Mereka ialah Penolong Pengarah Kastam Subang Azman Jusoh, Pegawai Kastam Kanan Zamzam Mohd Yusop dan Penguasa Kastam Siti Sarina Samsudin.

Azman Jusoh, 43, berkata sepanjang mengenali Ahmad Sarbaini sejak 1998, rakan baiknya itu banyak memberi nasihat dan tidak pernah berprasangka terhadap orang lain.

"Sikapnya itu amat disegani, dan Allahyarham banyak memberi tunjuk ajar kepada saya kerana dengan perbezaan umur kami dekat 10 tahun itu, membuatkan saya banyak mendapat nasihat daripada beliau," katanya ketika disoal peguam Awtar Singh yang mewakili keluarga Ahmad Sarbaini.

Azman merupakan orang terakhir berjumpa Ahmad Sarbaini sebelum kematiannya pada 6 April, dan beliau sedih dengan cara Allahyarham menemui ajal.

"Saya berjumpa dengan Allahyarham pada 5.30 pagi, 6 April di pejabat Kastam dan selepas itu kami pergi ke Masjid Subang untuk menunaikan solat Subuh, dan selepas Allahyarham menunaikan solat Istiqarah, beliau memaklumkan akan menukar pengakuan yang telah dibuat kepada SPRM pada 4 April lepas," katanya.

Azman berkata, beliau tidak bersetuju Allahyarham menukar pengakuan yang telah dibuat, sebaliknya mencadangkan Ahmad Sarbaini melawan kes itu di mahkamah, jika didakwa.

Sementara itu, Zamzam, 57, yang bertugas di Wisma Kastam Pelabuhan Barat berkata Ahmad Sarbaini berakhlak baik dan berintegriti tinggi.

Beliau mengaku agak rapat dengan Ahmad Sarbaini kerana Allahyarham merupakan rakan kelab tenis dan sering bermain di gelanggang pejabatnya di Pelabuhan Barat.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid, keadaan Ahmad Sarbaini ketika bermain tenis pada petang 5 April, Zamzam berkata Allahyarham kelihatan normal serta fokus dalam permainan, walaupun pernah ditahan dan disoal siasat oleh SPRM.

Sementara itu, Siti Sarina, 33, petugas di Pelabuhan Utara, pula menyifatkan Ahmad Sarbaini seorang yang ceria, berdisiplin dan sentiasa memberi tunjuk ajar kepada orang bawahannya.

Saksi ke-22 inkues itu berkata, beliau turut ditahan pada 1 April bersama Allahyarham kerana disyaki menerima sogokan daripada ejen penghantaran.

Beliau yang mengandung lapan bulan ketika itu sempat bertanyakan khabar Ahmad Sarbaini ketika mereka bertemu di pejabat Kastam pada petang 5 April.

Turut memberi keterangan ialah dua lagi pegawai Kastam, iaitu Penguasa Kastam Mohd Khairul Hisyam Mohd Gazali dan Penguasa Kastam Abdul Rahim Abdul Kadir serta Penguasa SPRM Wilayah Persekutuan Zetty Juzianty Zainorddin.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April.

Dia dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Prosiding di depan Koroner Aizatul Akmal Maharani disambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain