suria

Posco E&C Korea Minat Laksanakan Projek LRT & MRT M'sia

KUALA LUMPUR: POSCO Engineering & Construction Co Ltd (POSCO E&C) - syarikat pengeluar keluli dan pembinaan Korea Selatan, berminat mendapatkan kontrak berbilion ringgit projek My Rapid Transit (MRT) di Lembah Klang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chung Dong-Hwa berkata, syarikat itu baru sahaja menyelesaikan proses membida projek sambungan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang bernilai RM1.5 bilion.

"Cadangan kami bagi projek itu sedang dinilai. Jadi, kami masih menunggu."

"Selain projek Laluan Ampang itu, kami juga berminat dengan projek MRT Lembah Klang," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Berjaya Corporation Bhd di sini, Rabu.

Syarikat Prasarana Negara Bhd dijangka mengumumkan pemenang projek sambungan LRT Laluan Ampang menjelang September tahun ini.

Bagi projek MRT Lembah Klang, ia akan diputuskan antara Ogos-Oktober.

POSCO E&C adalah salah satu daripada lima syarikat pembinaan utama di Korea Selatan.

Antara projek utamanya ialah membangunkan Daerah Perniagaan Antarabangsa Songdo di Korea Selatan (seperti Putrajaya) dan Bandaraya Baharu North An Khanh di Vietnam.

Kini, POSCO E&C adalah kontraktor utama bagi fasa pertama Pusat Peranginan Berjaya Jeju di Korea Selatan.

Di bawah MoU itu, kedua-dua syarikat akan mengenal pasti kemungkinan dijalin usahasama di dalam sektor tradisi seperti pembangunan hartanah dan pembinaan infrastruktur serta bidang perniagaan baharu seperti tenaga diperbaharui dan loji petrokimia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain