suria

Kes Liwat: Anwar Bela Diri 8 Hingga 26 Ogos

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 8 hingga 26 Ogos depan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri atas tuduhan liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Penetapan berkenaan dibuat Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah selepas kes berkenaan dibawa untuk sebutan pada prosiding hari ini.

Peguam yang mewakili Anwar, Sankara Nair berkata beliau akan mengemukakan permohonan bagi pihak pendakwa agar mengemukakan 20 saksi untuk ditemuramah oleh pihak pembelaan.

Anwar yang hadir di temani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada prosiding akan menjadi orang pertama memberi keterangan apabila perbicaraan bermula.

Di luar mahkamah, seorang lagi peguam Anwar, S.N.Nair, memberitahu pemberita bahawa mengikut Kanun Acara Jenayah, tertuduh adalah saksi pertama yang akan memberi keterangan dalam kes pembelaan.

Katanya pasukan pembelaan berharap untuk menyoal 25 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebelum perbicaraan bermula.

Setakat ini mereka telah menemubual lima saksi terdiri bekas ratu pecut negara Datuk Mumtaz Jaafar; bekas pegawai perubatan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr Mohd Osman Abdul Hamid; adik perempuan pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan; seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur dikenali Dr Daniel dan pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anaz Yusof.

Nair berkata beliau akan mengemukakan permohonan minggu ini bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya pihak pendakwaan membawa saksi-saksi ke mahkamah untuk ditemubual.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar supaya membela diri selepas mendapati bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah seorang saksi yang bercakap benar dan berwibawa.

Pihak pendakwaan telah menawarkan 71 saksi tetapi pasukan pembelaan hanya mahu menyoal 25 daripada mereka.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008 terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain