suria

IPU Masih Ditahap Sederhana

PUTRAJAYA: Sepanjang tempoh 24 jam lalu, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 52 buah Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada pukul 7 pagi Rabu mencatatkan 18 kawasan berada pada tahap baik dan 33 kawasan berada pada tahap sederhana.

Sebuah stesen berada pada tahap tidak sihat iaitu Jalan Tasek, Ipoh dengan IPU 134.

Menurut ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi (JMM) terdapat negeri-negeri sebelah pantai barat Semenanjung tidak menerima hujan selama 5 hari berturut-turut.

Kemerosotan kualiti udara mula dikesan semenjak 3 Julai 2011 di sekitar jam 7 pagi dan berterusan sehingga hari ini di beberapa kawasan seperti di Ipoh dan Sri Manjung, Perak, di sekitar kawasan Lembah Klang, Bukit Rambai, Melaka, Nilai dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Laporan satelit yang dikeluarkan oleh "ASEAN Specialised Meteorological Centre" pada 12 Julai 2011 menunjukkan imej satelit NOAA-18 hanya dapat mengesan 42 bilangan titik panas di Sumatera disebabkan lindungan awan.

Bilangan titik panas yang dikesan dalam negara adalah sebanyak 20 pada 12 Julai 2011 dan 17 titik panas pada 11 Julai 2011.

Walau bagaimanapun, imej satelit tersebut menunjukkan asap jerebu dibawa oleh angin barat daya yang bertiup dari kawasan-kawasan titik panas di Bengkalis, Wilayah Riau, Sumatera menghala ke arah pantai barat Semenanjung Malaysia.

Oleh yang demikian, keadaan berjerebu yang dialami terutamanya di sekitar kawasan pantai barat Perak, Lembah Klang, Selangor, Negeri Melaka, Negeri Sembilan adalah disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Laporan ASMC pada 12 Julai 2011 juga telah menunjukkan peta jerebu serantau peringkat sederhana telah meliputi sebahagian Wilayah Riau, Sumatera dan sebahagian pantai barat Semenanjung Malaysia terutamanya di di pantai barat negeri Perak, di Lembah Kelang dan pantai barat Melaka serta Negeri Sembilan.

JAS telah pun mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri dan menggerakkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar pada 7 Julai 2011 bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Di samping itu, penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri-industri dipertingkatkan.

Orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka.

Orang ramai juga diminta berkerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain