suria

Akta Anti Pencatutan Bantu Pengguna

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010, yang berkuatkuasa 1 April lepas dalam banyak hal bertindak sebagai penghalang kepada mana-mana peniaga yang menaikkan harga secara sewenang-wenang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata dengan adanya Akta AntiPencatutan, tindakan boleh diambil terhadap para peniaga yang terlibat.

"Dengan penggubalan undang-undang, kami mahu mengekang peniaga yang tidak bertanggungjawab yang terlibat mengambil untung secara berlebihan terutama semasa musim perayaan dan semasa krisis.

Bagaimanapun, bukan semua kenaikan harga mempunyai elemen mengambil untung berlebihan. Apa yang penting ialah, mereka boleh mengemukakan alasan kepada kita," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau menjelaskan di bawah Akta Kawalan Harga, kerajaan perlu menetapkan harga siling dan mewartakan harga sebelum tindakan boleh diambil terhadap para peniaga yang menjual barangan mereka melebihi harga siling.

"Tetapi dengan Akta Anti Pencatutan, tindakan boleh diambil terhadap para peniaga yang sengaja menaikkan harga pada bila-bila masa," katanya.

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 berasal dari Akta Kawalan Harga (1946) yang dipinda bagi memasukkan langkah-langkah antipencatutan memandangkan aduan yang diterima berhubung kegiatan pencatutan oleh peniaga.

Memandangkan kerajaan akan melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (GST), keputusan telah dibuat bagi menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2010 bagi memastikan para peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati.

Setakat ini, Tan berkata sejak pelaksanaan akta itu, unit penguatkuasaan kementerian itu telah melawat lebih daripada 5,000 premis dan 46 notis telah dikeluarkan kepada peniaga yang menaikkan harga secara tidak sepatutnya.

"Akta itu telah digunakan buat pertama kali baru-baru ini, apabila tiga penjual ikan di Pulau Pinang telah dituduh menjual dengan harga berlebihan yang masing-masing diberikan notis mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 yang baru dilaksanakan.

"Buat pertama kali ia dikeluarkan di negara ini yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya.

Tiga penjual ikan, yang merupakan sebahagian daripada 46 peniaga menerima notis itu sejak akta itu dilaksanakan, diberikan tiga hari untuk memberikan alasan kenaikan itu di mana mereka diperlukan memberikan butiran mengenai kos pengeluaran, harga bahan mentah, tenaga buruh, pengangkutan dan sewaan.

Maklumat hasil siasatan akan dikemukakan kepada Majlis Penasihat Harga yang akan menentukan jika wujud pengambilan untung berlebihan.

"Bagaimanapun, kami tidak mendakwa sesiapa pun lagi memandangkan majlis itu masih meneliti butiran yang dikemukakan oleh 46 peniaga yang diberikan notis itu," katanya.

Di bawah akta baru itu, pertubuhan yang ingkar boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000, manakala individu boleh didenda sehingga sehingga RM100,000, dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Beberapa ahli ekonomi menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan Akta AntiPencatutan 2010 kerana ia boleh memastikan para peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Saya sangat gembira dengan Akta ini. Dari sudut pandangan perniagaan, apabila harga naik dan turun sekali lagi, peniaga sudah pasti mahu mendapat untung. Mereka selalu mahu untung.

"Akta itu akan memastikan ini tidak akan berlaku sewenang-wenangnya," kata Ketua Ahli Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias, katanya selepas membentangkan kertas kerja mengenai "High Income at High Cost" pada Forum CEO 2011, di sini, baru-baru ini.

Akta AntiPencatutan 2010, dibuat bagi mengekang kenaikan yang tidak sepatutnya dalam harga barangan pengguna kerana mengikut akta itu, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap para peniaga yang menaikkan harga melebihi daripada apa yang dibenarkan.

Pengguna boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-6800 sekiranya mereka mengetahui mengenai mana-mana peniaga yang dipercayai terlibat mengambil untung berlebihan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain