suria

Umno Pahang Tubuh Badan Tangkis Tohmahan Pembangkang

KUANTAN: Umno Negeri Pahang menubuhkan satu badan khas yang berperanan untuk menangkis segala tohmahan dan dakwaan tidak berasas yang dibuat pakatan pembangkang di setiap pelusuk negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Adnan Yaakob berkata badan khas itu akan dianggotai oleh ahli-ahli Umno Pahang akan bergerak ke setiap lokasi di mana pihak pembangkang akan turun untuk berceramah atau berkempen kepada rakyat. "Badan khas ini akan menangkis apa saja bentuk penipuan atau tohmahan yang dibuat oleh mereka di mana kita akan perbetulkan balik apa yang mereka dakwa tidak betul itu kerana kita sedia maklum mereka pandai putar belit fakta dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Inovasi Wacana Pahang Siri 2011 di sini hari ini yang dihadiri barisan exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan kerajaan dan agensi dan pakar-pakar industri.

Adnan berkata badan khas itu akan mula bergerak pada September dan penubuhan badan itu amat penting bagi memastikan rakyat tidak tertipu dengan muslihat pembangkang.

Menurutnya tugas yang diamanahkan kepada badan itu bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan bukan senang untuk menjelaskan sesuatu perkara yang betul kepada rakyat sekiranya mereka telah terpengaruh dengan kata-kata pihak luar.

"Bila kita balas balik apa yang didakwa oleh pembangkang, rakyat tidak mahu mendengarnya walaupun ia satu kebenaran tapi kita tetap akan jalankan tugas kita kepada rakyat," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain