suria

Saman Felda: Dr Tan Tidak Akan Beri Keterangan

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Datuk Dr Tan Kee Kwong tidak akan memberi keterangan dalam saman RM200 juta yang difailkan oleh Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) terhadap beliau.

Peguam Dr Tan, Ranjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa defendan (Dr Tan) tidak mempunyai kes untuk menjawab berhubung saman Felda dan syarikat pelaburannya Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd.

Ranjit memberitahu mahkamah demikian selepas peguam utama Datuk Mahinder Singh Dulku yang bertindak bagi plaintifnya (Felda dan Felda Global Ventures) memaklumkan bahawa plaintif telah menutup kes itu selepas memanggil empat saksi.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusuf menetapkan 20 Julai ini untuk mendengar hujahan.

Sebelum itu, Hakim Zabariah menolak permohonan Mahinder untuk menangguhkan perbicaraan kerana beliau mahu menghantar sapina kepada wartawan Suara Keadilan yang menemu bual Dr Tan berhubung satu artikel.

Hakim berkata sapina itu boleh dibuat selepas perbicaraan itu.

Pada 25 Januari lepas, Felda dan anak syarikatnya menyaman Dr Tan berhubung satu artikel muka depan akhbar Suara Keadilan bertajuk 'Kontroversi' yang didakwa memfitnah mereka.

Artikel itu bersambung pada muka tiga dengan tajuk "Bina bangunan RM662 juta hanya libatkan tiga individu."

Plaintif mendakwa artikel itu memfinah mereka kerana perkataan-perkataan itu menunjukkan bahawa pengambilan balik dan pembinaan Menara Felda di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur akan memberi manfaat kepada kroni.

Dalam kenyataan pembelaannya, Dr Tan berkata perkataan yang dibuat atau mengandungi ulasan dan menzahirkan pendapat itu merupakan ulasan adil berhubung kepentingan awam seperti kedudukan kewangan, perbelanjaan, pengurusan dan kegiatan plaintif.

Dr Tan menafikan bahawa perkataan itu dengan cara apa pun memfitnah plaintif dan dalam konteks artikel itu, jika diambil secara menyeluruh, perkataan itu tidak bermakna atau boleh membawa makna seperti yang didakwa oleh pliantif.

Terdahulu, bekas timbalan pengarah urusan kumpulan Felda Holdings Bhd, Datuk Kasah Ahwal, dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa beliau ada berjumpa Dr Tan di Maju Junction Food Court, di sini, tahun lepas selepas bekas timbalan menteri itu beberapa kali menelefonnya dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berjumpa dengannya.

Kasah, 59, yang kini bersara memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menjawab panggilan telefon dan juga khidmat pesanan ringkas itu tetapi membalas SMS itu selepas beberapa kali Dr Tan membuat panggilan.

Kepada soalan peguam Datuk Firoz Hussein Jamaluddin yang mewakili plaintif, Kasah berkata beliau kecewa dengan sikap Dr Tan kerana apa yang dibincangkan di Maju Junction itu telah diterbitkan oleh Dr Tan.

Semasa disoal balas oleh Ranjit, Kasah berkata semasa pertemuan dengan Dr Tan, beliau hanya memberi komen mengenai pelaburan oleh anak-anak syarikat Felda yang tidak memberikan pulangan yang baik kepada Felda. -BERNAMA

Artikel Lain