suria

Rogol Warga Emas, Peniaga Dipenjara 14 Tahun

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa mengekalkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan terhadap peniaga susu segar yang didapati bersalah merogol seorang warga emas berusia 62 tahun, di hadapan suaminya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Mohamed Apandi Ali memutuskan rayuan Ahmad Nazari Abd Majid tiada merit untuk dipertimbangkan dan sehubungan itu tiada alasan untuk mengusik keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

Ahmad Nazari, 48, yang mempunyai dua isteri dan lapan orang anak, menghadapi dua tuduhan merogol mangsa, seorang penoreh getah, di ladang getah di Kuala Muda, Kedah antara 7 pagi dan 8 pagi pada 13 Dis 2000 dan 27 Disember 2000.

Bagi pertuduhan pertama, dia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar tetapi didapati bersalah bagi pertuduhan kedua dan dihukum penjara lapan tahun dengan dua sebatan rotan.

Pada 28 April 2009, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak rayuan Ahmad Nazari terhadap sabitan dan hukuman. Sebaliknya Mahkamah Tinggi menambah hukuman penjara kepada 14 tahun dan enam sebatan rotan selepas membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan terhadap hukuman tertuduh.

Ahmad Nazari diperintah menjalani hukuman penjara mulai 28 April 2009 kerana diikat jamin sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi. Pihak pendakwaan tidak merayu berhubung pembebasannya bagi pertuduhan pertama.

Berdasarkan fakta kes, Ahmad Nazari pergi ke ladang getah itu ketika mangsa sedang menoreh bersama suaminya. Dia membawa sebatang kayu yang besar dan cuba untuk memukul suami mangsa tetapi gagal.

Dia kemudiannya menarik mangsa ke dalam semak dan merogolnya dan insiden itu disaksikan oleh suami mangsa yang tidak setanding dengan kekuatan tertuduh dan tidak berupaya untuk membantu isterinya. Ahmad Nazari terus berlalu selepas merogol mangsa.

Mangsa pulang ke rumah tetapi tidak membuat laporan polis kerana beliau malu. Mangsa hanya membuat laporan polis pada Tahun Baru Cina tahun berikutnya, selepas anak lelakinya membawa mangsa membuat laporan polis.

Polis menjalankan siasatan dan menangkap tertuduh. Mangsa mengecam tertuduh dalam barisan kawat cam.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya V. Shoba manakala Ahmad Nazari diwakili peguam Harpal Singh. -BERNAMA

Artikel Lain