suria

Polis Tahan Dua Lelaki Disyaki Edar Dadah

JOHOR BAHARU: Polis Johor menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah hotel di Taman Perling di sini pada Isnin, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Selain merampas 38.56 gram dadah jenis ketamin, pil ectasy, syabu dan eramin 5, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor turut menemui sebilah parang dan pisau dalam serbuan 11.30 pagi itu.

"Siasatan awal tidak menolak kemungkinan kesemua suspek yang berusia antara 20 dan 26 tahun itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan samun jalanan di negeri ini," kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff kepada pemberita, di sini, Selasa.

Katanya salah seorang suspek juga mempunyai rekod jenayah berhubung kes ugutan. Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, polis yang melakukan rondaan cegah jenayah menahan empat lelaki berusia antara 18 dan 23 tahun di Taman Daya di sini, pada pukul 1.15 pagi semalam. Pemeriksaan ke atas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka turut menemui sembilan bilah parang.

Mokhtar berkata polis tidak menolak kemungkinan mereka anggota kumpulan kongsi gelap dan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes dadah. -BERNAMA

Artikel Lain