suria

Polis Bertindak Demi Keselamatan Awam & Negara - MCA

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, parti itu yakin apa yang dilakukan oleh polis untuk menyuraikan demonstrasi jalanan pada Sabtu lalu adalah semata-mata untuk keselamatan awam dan negara.

"Pendirian kami sangat jelas bahawa tugas utama polis melindungi nyawa dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam negara terjamin," katanya mengulas dakwaan menyatakan kononnya polis bertindak kasar semasa mengawal demonstrasi jalanan di pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian cek Yayasan Perubatan 1MCA berjumlah RM212,684.70 kepada 22 penerima, terdiri daripada pesakit yang menghadapi masalah perubatan di Wisma MCA di sini.

Chua menambah, suara majoriti senyap yang menolak perhimpunan itu perlu diberi perhatian kerana mereka sedar demonstrasi itu hanya untuk menjejaskan imej dan nama baik kerajaan serta negara.

Sambil mendakwa perhimpunan itu bermotifkan politik, Chua juga menolak dakwaan kononnya perhimpunan haram itu mendapat sokongan rakyat kerana menurutnya kehadiran sekitar 20,000 orang adalah jauh dibandingkan dengan jumlah sebenar penduduk negara.

Beliau juga menyangkal kononnya banyak golongan muda kaum Cina menyokong perhimpunan haram itu.

"Saya telah melihat video... saya tidak fikir terdapat ramai dari kalangan orang Cina di sana, kebanyakan mereka adalah anggota parti-parti pembangkang," katanya.

Chua berkata jika mahu, MCA juga boleh mengumpul ramai anggota untuk berhimpun.

Turut hadir ialah timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan.

Artikel Lain