suria

Petronas Berhasrat Jadi "Rakan Kongsi Sejati" Turkmenistan - PM

ASHGABAT (TURKMENISTAN): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meyakinkan Turkmenistan bahawa syarikat petroleum negara, Petronas berhasrat menjadi "rakan kongsi sejati" kepada Turkmenistan.

Beliau berkata Petronas ingin menjadi sebuah warga korporat yang baik di negara ini dan bekerjasama rapat sebagai rakan kongsi sejati di Turkmenistan.

"Kami akan bekerjasama erat, melakukan aktiviti bersama-sama dan kami akan mematuhi undang-undang dan polisi negara anda," kata Najib pada sidang akhbar bersama dengan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan dua hala di Istana Presiden di sini Isnin.

Najib berkata dengan cara sedemikian dan peka dengan aspirasi masyarakat setempat, beliau yakin usahasama antara Petronas dan rakan kongsinya di Turkmenistan akan berjalan lancar dan membawa manfaat kepada kedua-dua negara.

Malaysia, melalui Petronas, menawarkan pelajar dari Turkmenistan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Petronas di Malaysia serta menyediakan tempat di peringkat teknikal menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

"Yang sedemikian, kami akan memberikan banyak keutamaan daripada segi apa yang kami boleh sumbangkan kepada negara anda daripada segi pembinaan keupayaan," kata beliau.

Menyentuh tentang perdagangan, Najib berkata jumlahnya adalah kecil tetapi dengan sokongan sektor swasta, jumlah dagangan antara kedua-dua negara boleh ditingkatkan ke tahap lebih tinggi. Perdana Menteri berkata kedua-dua negara perlu membangunkan hubungan sesama rakyat kerana mereka berkongsi nilai budaya yang serupa.

"Rakyat kedua-dua negara ramah dan rakyat Turkmenistan seharusnya berasa seperti berada di negara sendiri di Malaysia," kata beliau.

Najib berkata sebagai bukti kesungguhan dan hasrat Malaysia bagi meningkatkan dan mengukuhkan lagi hubungan dengan Turkmenistan, Malaysia memutuskan untuk mewujudkan pejabat perwakilan di Ashgabat yang diketuai duta tetap sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata Turkmenistan juga akan mempertimbangkan untuk mewujudkan pejabat perwakilan serupa di Kuala Lumpur atau Putrajaya pada masa hadapan.

Najib berkata perbincangan beliau dan Presiden Turkmenistan berhasil dan produktif meliputi pelbagai isu kepentingan bersama.

"Saya sangat berpuas hati dengan perbincangan produktif yang diadakan hari ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Berdimuhamedov yang menyuarakan komitmen untuk meningkatkan hubungan dua hala Turkmenistan-Malaysia.

"Saya cukup yakin bahawa hubungan dua hala Malaysia-Turkmenistan akan dapat diperkukuhkan lagi demi kepentingan bersama rakyat kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, Berdimuhamedov mencadangkan agar satu persidangan sains dan kebudayaan Turkmenistan-Malaysia diadakan di Ashgabat tahun depan.

Beliau juga menyarankan Hari Kebudayaan Malaysia diadakan di Turkmenistan dan Hari Kebudayaan Turkmenistan di Malaysia.

Pada Selasa, Najib and Berdimuhamedov akan bersama-sama merasmikan Terminal Gas Petronas di Kiyanli, Turkmenbashy, kira-kira 600km dari Ashgabat. - BERNAMA

Artikel Lain