suria

Pengabungan SapuraCrest & Kencana Jadikan Mereka Syarikat Gas-Minyak Yang Ke-4 Terbesar Dunia

KUALA LUMPUR: SapuraCrest Petroleum Bhd dan Kencana Petroleum Bhd yang telah menerima tawaran berasingan daripada Integral Key Sdn Bhd (IKSB) untuk mengambil alih keseluruhan perniagaan dan liabiliti bernilai RM11.85 bilion pada Isnin akan menjadikan mereka syarikat berkaitan gas dan minyak yang keempat terbesar di dunia dari segi aset.

Tawaran itu adalah untuk memudahkan penggabungan perniagaan antara kdua-dua kumpulan yang akan mewujudkan penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu terbesar di Malaysia.

IKSB ialah syarikat tujuan khas milik penuh Mayban Ventures Sdn Bhd. Maybank Investment Bank Bhd dan CIMB Investment Bank Bhd adalah penasihat bersama IKSB.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Charon Wardini Mokhzani memberitahu sidang media di sini semalam bahawa cadangan penggabungan itu dijangka dimuktamadkan antara enam hingga lapan bulan.

Menerusi cadangan "Penggabungan Terbesar Tahun ini", IKSB akan membayar RM5.87 bilion untuk perniagaan SapuraCrest dan RM5.98 bilion bagi perniagaan Kencana, yang mewakili harga saham RM4.60 sesaham bagi sesaham SapuraCrest dan RM3 sesaham saham Kencana.

Bagi perniagaan SapuraCrest, pertimbangan pembelian akan diselesaikan menerusi 14.9 sesaham tunai dan bakinya dengan saham baharu IKSB manakala perniagaan Kencana pada 16.2 peratus tunai dan bakinya dengan saham IKSB.

Setelah transaksi selesai, SapuraCrest akan menerima RM875 juta dalam bentuk tunai manakala Kencana akan menerima RM969 juta, juga dalam bentuk tunai.

Intergral Key dimiliki oleh Maybank Ventures Sdn Bhd milik penuh Maybank Investment Bank.

Charon berkata, Integral Key belum memuktamadkan pembiayaan bagi penggabungan itu.

Dagangan saham kedua-dua syarikat akan diteruskan esok dan perniagaan akan berjalan seperti biasa, katanya.

"Kami akan memastikan proses penggabungan itu tidak menganggu operasi harian kedua-dua syarikat. Mereka akan terus membida projek dan pekerja akan bertugas seperti biasa," katanya.

Entiti yang bercadang digabungkan itu, akan mempunyai nama baharu dan akan menggunakan status penyenaraian salah sebuah syarikat terbabit.

Menurut Charon, pemegang saham utama berminat terhadap penggabungan itu dan jawatankuasa penyepaduan penggabungan itu akan ditubuhkan sebaik lembaga pengarah masing-masing menerima tawaran itu, yang akan dipengerusikan bersama oleh Datuk Shahril Shamsuddin dan Datuk Mokhzani Mahathir.

Lembaga Pengarah akan memutuskan pasukan pengurusan yang baharu bagi entiti terbabit. Charon menjangkakan Shahril dan Mokhzani dapat bekerja bersama-sama memandangkan kedua-duanya mengenali satu sama lain dengan baik.

"Dalam semua penggabungan, perbezaan personaliti mungkin mencabar namun pemegang saham mengenali satu sama lain dengan baik dan sebarang perbezaan akan diatasi oleh jawatankuasa penyepaduan penggabungan itu," katanya.

Sementara itu, Partner, Kadir Andri & Partners E.Sreesnathan berkata, bank-bank pelaburan melihat nilai cadangan penggabungan itu dan mengemukakan idea kepada lembaga pengarah syarikat untuk pertimbangan.

"Kedua-dua syarikat mempunyai permodalan pasaran yang hampir sama, dan memang sesuai untuk digabungka," kata Charon.

Ketua Pegawai Eksektuif Maybank Investment Bank, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz pula berkata: "Saiz entiti yang bergabung itu membabitkan permodalan pasaran melebihi RM10 bilion, pelbagai kemahiran merentas rangkaian nilai, akses kepada pasaran modal dan pembiayaan dan akan membolehkannya melaksanakan projek yang lebih besar dan kompleks, dan meneroka ke pasaran baharu, dengan potensi projek huluan."

Zafrul menambah, dari segi jumlah aset, cadangan penggabungan itu itu akan menjadikannya firma entiti minyak dan gas keempat terbesar di dunia dan yang terbesar di Malaysia. MI DAB JR LAT

Artikel Lain