suria

Lawatan Najib Ke United Kingdom Bermula Rabu

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan rasmi ke United Kingdom, atas jemputan Perdana Menteri David Cameron, bermula esok sehingga 15 Julai.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini Selasa menyatakan lawatan itu amat signifikan kerana ia mencerminkan kekukuhan hubungan bersejarah yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.

"Selaras dengan objektif Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, lawatan ini akan menjadi pemangkin dalam memperluaskan lagi usahasama sedia ada dan membolehkan kedua-dua negara bekerjasama dalam menghadapi cabaran-cabaran baru global," menurut kenyataan itu.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Najib ke United Kingdom sejak mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009.

Pada lawatan itu, Najib akan memeriksa Kawalan Kehormat di Pejabat Luar dan Komanwel sebelum mengadakan pertemuan dengan Cameron pada majlis makan tengah hari.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua majlis menunjukkan betapa pentingnya hubungan Kuala Lumpur-London berikutan sambutan protokol sebegitu biasanya tidak diberikan bagi lawatan oleh Ketua Kerajaan.

"Kedua-dua perdana menteri akan berpeluang mencorakkan hala tuju baru hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang. Pertemuan itu dijangka memberi nafas baru dalam pelbagai aspek dan dimensi hubungan antara kedua-dua negara," menurutnya.

Najib dijangka mengadakan perbincangan dengan komuniti perniagaan dan institusi kewangan terkemuka di United Kingdom pada sesi Meja Buat dengan para peneraju industri, pengerusi/CEO pasaran modal dan menyampaikan ucaptama pada Forum Pelaburan Global.

Perdana Menteri juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang termasuk inisiatif untuk menangani jenayah merentas sempadan serta kerjasama rel kereta api dan pendidikan.

Najib juga akan menghadap Ratu Queen Elizabeth II di Istana Buckingham.

Pada lawatan itu, Najib akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan empat menteri iaitu Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

United Kingdom merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah perdagangan bernilai RM13.03 bilion. - BERNAMA

Artikel Lain