suria

Keputusan Pecat Pegawai Polis Tidak Sah - Mahkamah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin memutuskan prosiding tatertib oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang bekas pegawai berpangkat Penolong Penguasa (ASP) adalah tidak sah kerana gagal memberi hak untuk pegawai itu bersuara secara lisan.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum mengarahkan Yusof Sudin diterima kembali dalam perkhidmatan polis.

Dua hakim yang bersidang bersama ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff.

Panel hakim juga memutuskan pendaftar Mahkamah Tinggi Melaka membuat penilaian bagi menentukan gaji, emolumen dan faedah-faedah lain yang sesuai kepada Yusof.

Keputusan Hakim Malanjum dan Zulkefli memihak kepada Yusof manakala Hakim Mohd Ghazali menentang. Dalam penghakiman 23 muka surat, Zulkefli berkata Yusof perlu diberikan pendengaran lisan atas permintaan khusus dalam suratnya yang menafikan lima tuduhan terhadapnya.

Berdasarkan fakta dan keadaan kes ini, katanya, terdapat kemungkiran jelas Artikel 135 (2) Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan 26 Perintah-Perintah Am Pergawai Awam (Kelakukan dan Tatatertib) 1980 dalam prosiding tatatertib terhadap Yusof yang menyebabkan prosiding itu batal dan tidak sah.

Yusof, 60, ketika itu mengetuai Unit Pencegahan Maksiat dan Kongsi Gelap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, dipecat oleh Suruhanjaya PDRM selepas dia menerima surat tunjuk sebab bertarikh 30 Jun, 1993.

Prosiding tatatertib dimulakan terhadapnya atas lima tuduhan berhubung rasuah, mengabaikan tugas, gagal melaporkan aktiviti perjudian haram dan kegagalan mengambil tindakan terhadap orang-orang tertentu.

Yusof kemudian membuat representasi dengan sokongan sebab menerusi surat bertarikh 29 Julai, 1993.

Pada masa sama, beliau turut memohon pendengaran lisan sekiranya penjelasan dalam suratnya tidak cukup bagi melepaskan diri dari semua dakwaan tersebut.

Suruhanjaya itu mengendahkan permohonan pendengaran lisan dan meneliti representasinya dan kemudian memecat beliau dari perkhidmatan menerusi surat bertarikh 15 Ogos, 1994.

Yusof kemudian mengambil mengemukakan saman terhadap suruhanjaya dan kerajaan Malaysia pada 4 Februari 1997 kerana dipecat secara tidak sah, mahu ditempatkan semula dalam perkhidmatan dan layak menerima gaji, emolumen dan faedah-faedah lain.

Pada 27 Oktober 2004, Mahkamah Tinggi Melaka menolak saman tersebut dan Mahkamah Rayuan juga mengekalkan keputusan tersebut pada 1 April, 2008.

Di luar mahkamah, peguam Yusof, G. Subramaniam Nair, berkata penempatan semula dalam perkhidmatan polis itu adalah dari tarikh pemecatan sehingga 2006, tahun anak guamnya bersara dari perkhidmatan. - BERNAMA

Artikel Lain