suria

Hospital Tung Shin Nafi Dakwaan Gas Pemedih Mata Memasuki Kawasan Hospital Itu

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Hospital Tung Shin menafikan dakwaan sebuah berita portal bahawa gas pemedih mata dan meriam air yang dilepaskan oleh polis untuk meleraikan perhimpunan haram Sabtu lepas, memasuki kawasan hospital itu.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya Ng Beh Tong berkata tidak ada gas pemedih mata disembur ke dalam kawasan hospital.

"Malah, pihak polis membawa beberapa orang penyokong demonstrasi yang cedera ringan semasa kejadian itu berlaku ke dalam hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas memberikan taklimat kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong yang mengadakan lawatan ke hospital itu.

Ng berkata pada perhimpunan haram itu, polis juga tidak melakukan sebarang tangkapan terhadap penyokong perhimpunan haram yang melarikan diri ke dalam hospital itu.

Sementara itu, Liow berkata pada masa kejadian itu, polis hanya melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penyokong perhimpunan haram tersebut yang berkumpul di atas jalan raya di Jalan Pudu, di hadapan hospital berkenaan.

"Mungkin gas pemedih mata yang ditembak polis itu bagi meleraikan kumpulan penyokong perhimpunan haram ditolak angin hingga tersasar dan termasuk sedikit ke kawasan hospital," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun gas pemedih mata itu tidak mengenai mana-mana pihak yang berada dalam hospital.

Mengenai rakaman video yang didakwa menayangkan polis menyembur meriam air ke arah hospital, Liow berkata polis menyembur ke bangunan bersebelahan, di mana para penyokong berkumpul, bukan ke dalam hospital, dan perkara tersebut disokong oleh Ng.

Liow turut melahirkan rasa kesalnya dengan sikap pembangkang yang cuba membesarkan isu tersebut dengan tujuan memburukkan kerajaan dan polis.

"Pihak pembangkang cuba mempolitikkan keadaan itu dan seolah-olah mahu memberitahu rakyat bahawa kejadian itu benar-benar berlaku, tetapi hakikatnya ia tidak berlaku, jangan cuba politikkan isu ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain