suria

DUN Selangor Perlu Nyata Pendirian Cara Kerajaan Pusat Tangani Bersih - Nik Nazmi

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Selasa menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyatakan pendirian terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan dan polis dalam menangani perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Menerusi usul tergempar di bawah Peraturan Tetap 17(1) DUN Selangor, ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut menggesa kerajaan menghentikan segala tangkapan dan halangan kepada kempen Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Selangor malah di seluruh negara.

Selain itu beliau turut meminta kerajaan negeri agar mempertahankan hak rakyat untuk menggunakan kemudahan kerajaan negeri, badan-badan berkanun negeri, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tanpa halangan polis atau mana-mana pihak selari dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Pada 9 Julai lalu, Bersih telah mengadakan perhimpunan aman bagi mempertahankan prinsip demokrasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru Bersih bersetuju mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka, malah Perdana Menteri turut menawarkan stadium sekiranya Bsersih sanggup bertolak ansur.

"Namun Perdana Menteri mungkir janji. Permit turut ditolak pihak Polis malah mengadakan sekatan jalan raya semata-mata untuk menyusahkan rakyat dan menggagalkan perhimpunan Bersih," katanya.

Selain itu menerusi usul yang sama, Nik Nazmi turut menyatakan kekesalannya apabila pihak polis menghalang sebuah program di Kelana Jaya pada malam Sabtu lalu.

"Dalam program di Kelana Jaya, Polis telah mengadakan sekatan jalan dan mengepung Kompleks PKNS. Walaupun saya cuba berunding, permintaan saya ditolak dan program tersebut terpaksa dibuat di Pusat Khidmat saya.

"Memandangkan ini melibatkan hak asasi manusia dan konsep demokrasi berperlembagaan, perkara ini hendaklah disegerakan selepas tindakan Kerajaan Persekutuan dan polis yang telah mengina kedudukan kerajaan negeri dan lebih penting lagi merupakan pelanggaran kepada Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Artikel Lain