suria

Tiada Bukti Saintifik Kaitkan Kematian Akibat Pelalian HPV - Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara pada Isnin diberitahu tiada bukti saintifik yang mengaitkan pelalian human Papilloma Virus (HPV) dengan beberapa kematian di Eropah dan India.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pelalian HPV hanya menunjukkan kesan sampingan yang rendah iaitu 0.6 peratus dan berbentuk ringan seperti penggunaan vaksin lain.

"WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) telah menganalisa data kesan sampingan yang dilaporkan berkaitan vaksin HPV daripada pemantauan di Eropah serta Amerika Syarikat dan mendapati tidak ada peningkatan kesan sampingan," katanya menjawab soalan Senator Boon Som Inong, di sini.

Liow berkata kementeriannya juga mengambil tindakan proaktif bagi memastikan kesan sampingan akibat pelalian HPV dipantau termasuk membangunkan sistem rujukan bagi merawat kes kesan sampingan.

HPV adalah suntikan pelalian bagi mencegah kanser serviks yang diperkenalkan pada 2008 dan telah diiktiraf WHO sebagai berkesan dalam mengelak jangkitan virus HPV yang menyebabkan 90 peratus daripada kanser servik seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Liow berkata sebelum diberikan suntikan pelalian itu, murid perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa selain menyatakan sama ada mereka mengalami alahan terhadap sebarang suntikan vaksin.

"Selepas diberikan pelalian itu, kita bagi lagi borang untuk mereka nyatakan kesan-kesan sampingan yang dialami dan kita akan buat susulan untuk pastikan penjagaan rapi dapat diberikan kepada anak-anak kita," katanya.

Katanya seramai 231,071 murid telah menerima pelalian HPV tahun lepas, dan hanya 894 orang atau 0.2 peratus dilapor mengalami kesan sampingan yang ringan.

Kesan sampingan itu ialah pening (34.7 peratus), loya (17.3 peratus), muntah (12.0 peratus), sakit kepala (7.7 peratus) dan sakit di tempat suntikan (6.4 peratus). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain