suria

Pembunuhan Banting: Polis Temui Cebisan Tulang, Pisau

SHAH ALAM: Pencarian yang dilakukan di empat lokasi berbeza di sekitar Banting, dekat sini menemui pelbagai barangan termasuk cebisan tulang, sebilah pisau dan pelbagai barangan peribadi yang didakwa berkaitan dengan pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang hilang bersamanya, tahun lalu.

Sosilwati, 47, dilaporkan hilang dan didakwa mati dibunuh bersama pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, atau lebih dikenali sebagai Kamal.

Pada Isnin, seorang anggota polis daripada Pasukan Gerakan Marin, Pulau Pinang, Koperal Merzuki Shahrim, 43, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pasukannya yang terdiri daripada lima anggota menerima arahan untuk ke Banting pada 11 September 2010.

Mereka bertolak dari Pulau Pinang pada pukul 11 malam hari yang sama dan singgah di Pusat Gerakan Marin Putrajaya pada pukul 5.30 pagi, 12 September 2010 untuk membuat persediaan dan mengambil peralatan menyelam.

Katanya lagi, mereka kemudiannya diarahkan untuk ke Sungai Panchau, Banting pada pukul 3 petang, 12 September 2010 gerakan mencari pertama dilakukan oleh Merzuki dan dua anggota, Lans Koperal Muhamad Hazriman Ismail dan Lans Koperal Kesatoper Wine anak Assan manakala anggota lain menunggu di atas tebing dan bersedia untuk membantu.

"Apabila sampai di kawasan yang dimaksudkan, .kami dapat lihat seperti objek arang hitam dan objek terbakar," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin.

Saksi pendakwaan ke-22 itu seterusnya berkata, sebelum menyelam, mereka terlebih dahulu mengukur kedalaman air sungai dengan menggunakan tali yang diikatkan dengan pemberat dan didapati air sungai itu hanya berkedalaman sekitar dua hingga tiga kaki.

Justeru itu, Merzuki berkata, mereka tidak menggunakan peralatan menyelam dan teknik yang digunakan adalah teknik menapis lumpur-lumpur.

"Kami akan mengambil lapisan lumpur yang akan ditapis dengan menggunakan pengayak hingga barang yang dijumpai dapat dikutip. Kami juga menggunakan teknik meraba-raba," katanya lagi.

Penggunaan perkataan meraba-raba menyebabkan semua hadiri yang mengikuti prosiding tergelak dan Hakim Datuk Akhtar Tahir bertanyakan, jika perkataan tersebut adalah perkataan yang sebenar untuk menggambarkan perbuatan yang dilakukan oleh saksi.

Sehingga pencarian ditamatkan pada antara pukul 5.40 dan 5.45 petang, saksi dan pasukannya berjaya menemui cebisan tulang yang telah hangus, pisau, cebisan besi yang ada kesan terbakar dan berkarat, beberapa utas gulung dawai, satu karung guni tepung ubi kayu 50 kilogram, beberapa anak kunci dan dua keping duit syiling.

Pada pukul 6 petang, 12 September 2010, saksi dan pasukannya kemudiannya mendapat arahan untuk mengikut konvoi polis ke sebuah jambatan berhampiran kunci air berhampiran pasar besar Banting dan berjaya menemui dua telefon BlackBerry warna hitam dan putih yang telah disahkan sebagai milik Noorhisham dan Ahmad Kamil.

Operasi pencarian barang kes kemudiannya diteruskan pada pukul 4.45 petang, 13 September 2010 di jambatan Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah, Banting.

"Saya dan dua anggota bersiap sedia dan membuat pemeriksaan kedalaman air dan didapati ia adalah antara lima hingga enam kaki. Kami perlukan alat pernaafasan untuk membuat penyelaman dan saya juga juga arahkan anggota saya untuk merentang tali yang dipasang dengan pemberat di tebing kiri dan kanan sungai bagi memudahkan operasi mencari.

"Setelah siap, saya dan Kesatoper Wine turun ke dalam sungai manakala Muhamad Haziman berada dalam keadaan siap sedia. Semasa itu, air sungai keruh dan tahap penglihatan hanya pada satu ke dua inci.

"Kami turun hingga betul-betul rapat ke dasar dan disebabkan pandangan yang kelam, kami perlu meraba-raba hingga ke hujung. Pada pukul 5 petang lebih, saya telah berjumpa dengan seutas jam tangan jenama Seiko Honda Racing Team," katanya.

Tambah saksi lagi, mereka sekali lagi membuat pencarian di sungai tersebut pada 14 September 2010 bagi memastikan semua kawasan tersebut diperiksa dengan teliti, termasuklah dengan menggunakan peralatan mengesan besi.

"Apabila sampai, seperti biasa kami membuat pemeriksaan dan menyukat kedalaman air. Kali ini, saya juga gunakan pengesan besi. Tetapi, disebabkan dasar sungai itu penuh dengan sampah tidak berkenaan, maka pengesan tersebut kerap berbunyi. Jadi, saya tidak gunakan alatan itu dan gunakan teknik biasa," tambahnya.

Katanya lagi, pada pukul 2.20 petang, Muhamad Haziman telah menemui seutas jam tangan jenama Bell & Ross yang disahkan milik Ahmad Kamil.

Pada pukul 5.30 petang hari yang sama, saksi dan pasukannya telah bertolak ke sungai yang terletak di tepi sebuah kebun kelapa sawit dan Muhamad Hazman dan Kesatoper Wine telah menemui enam keping atap zink yang ada kesan terbakar.

Merzuki sedang memberi keterangan terhadap seorang peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Khatavarayan, 31, sedang di bicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 8.30 dan 9.40 malam, 30 Ogos 2010 di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori.

Perbicaraan yang masuk hari ke-enam bersambung petang Isnin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain