suria

Masyarakat Antarabangsa Perlu Diperjelas Tentang Situasi Sebenar Negara

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata orang ramai terutama masyarakat antarabangsa perlu diberikan penjelasan sebenar mengenai keadaan dan situasi negara ini ekoran perhimpunan haram, Sabtu.

Katanya, perhimpunan semalam yang dilaporkan terutama oleh media asing telah menggambarkan seolah-olah wujud ketidakstabilan dan memberikan imej negatif terhadap negara ini, walaupun secara keseluruhannya negara ini masih aman dan ramai rakyat menolak perhimpunan tersebut.

"Saya fikir bagi membetulkan perkara ini satu strategi penjelasan dengan media antarabangsa perlu diadakan bagi menjelaskan keadaan sebenar di Malaysia kerana ia bukan seperti yang dipertontonkan dalam media antarabngsa.

"Mereka (penganjur perhimpunan) bukan mahu menuntut sebuah pilihan raya adil dan bersih tetapi mereka mahu mengotorkan imej Malaysia yang sedia baik dan menafikan apa yang telah dilakukan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam mentransformasikan negara ini dalam segala aspek," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penerangan Perdana di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, perhimpunan semalam yang menurutnya juga bertujuan meraih simpati rakyat tetapi belaku sebaliknya apabila dibenci orang ramai terutama golongan peniaga di ibu negara yang terjejas pendapatan mereka akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan kekecewaannya terhadap golongan ibu bapa yang menyertai perhimpunan haram itu yang turut membawa anak-anak mereka.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu seolah-olah menunjukkan ibu bapa tersebut sanggup menjadikan anak-anak sebagai perisai pada perhimpunan itu.

"Kalau diikutkan kita boleh mengambil anak-anak mereka semasa perhimpunan itu kerana tindakan mereka itu menyalahi undang-undang, tapi kerana kita berhati perut kita tidak berbuat demikian," katanya.

Katanya, pergerakan Wanita yang mempunyai seramai 1.3 juta ahli boleh melakukan perhimpunan jalanan bagi membantah perhimpunan semalam, tetapi menolak untuk berbuat demikian bagi mematuhi undang-undang negara.

"Kita (Wanita) sebagai ibu dan tulang belakang parti Umno akur dengan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kita tidak akan membiarkan (perhimpunan itu) berleluasa dan mereka harus dikenakan tindakan yang tegas," katanya.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata tindakan penganjur perhimpunan haram itu yang kononnya bagi menuntut demokrasi dengan mengadakan demonstrasi jalanan menunjukkan mereka sebenarnya tidak demokrasi.

"Mereka sebenarnya mahu merosakkan demokrasi dan mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi amalan demokrasi dengan mengadakan demonstrasi jalanan," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain