suria

Malaysia Akan Jadi Negara Tua Menjelang 2030 - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengunjurkan Malaysia menjadi sebuah negara tua pada 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun ke atas mencakupi 15 peratus daripada jumlah populasi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pada masa ini, bilangan warga emas di Malaysia adalah seramai 2.1 juta atau 7.3 peratus daripada keseluruhan penduduk.

Katanya jangka hayat penduduk juga diunjur menokok daripada 72.6 tahun pada 2010 kepada 74.2 tahun pada 2020 bagi lelaki, manakala jangka hayat wanita meningkat kepada 79.1 daripada 77.5 tahun bagi tempoh yang sama.

"Ini dijangka meningkat sejajar dengan peningkatan taraf kesihatan penduduk," katanya menjawab soalan Senator Noriah Mahat, di Dewan Negara di sini, Isnin.

Shahrizat berkata kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan Rumah Seri Kenangan untuk memberi penjagaan dan perlindungan kepada warga emas yang daif.

Katanya sehingga 31 Mei lepas, terdapat sembilan Rumah Seri Kenangan di seluruh negara yang memberi penjagaan dan perlindungan kepada 1,942 orang penghuni.

Beliau berkata selain Rumah Seri Kenangan, kementerian juga menubuhkan 22 Pusat Jagaan Harian Warga Emas menerusi kerjasama strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi manfaat kepada 16,331 warga emas di seluruh negara.

Shahrizat berkata kerajaan telah memperuntukkan RM733,260 untuk NGO terbabit sepanjang tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain