suria

MAIWP Peroleh Kebenaran Pindah 16 Kubur

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan MAIWP) pada Isnin, memperoleh kebenaran untuk memindahkan 16 buah kubur di sebuah lot tanah di Bukit Kiara sejak 30 tahun lalu ke sebuah tempat yang lain.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Abdul Walid Abu Hassan membenarkan permohonan tersebut selepas mendapati semua jenazah di kubur berkenaan tidak dikebumikan mengikut arah kiblat, selain tanah itu merupakan tanah rizab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Abdul Walid seterusnya memerintahkan agar pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama bagi memastikan proses pemindahan kubur berkenaan berjalan mengikut hukum syarak dan mematuhi prosedur.

Permohonan untuk memindahkan tanah kubur tersebut dibuat secara ex-parte (sebelah pihak) oleh MAIWP pada 6 Julai lalu menerusi peguam syarie, Zulkiflu Che Yong.

Pada prosiding Isnin, Zulkifli turut mengemukakan afidavit yang terdiri daripada geran tanah, gambar-gambar kubur dan pandangan ulama bagi menyokong permohonan tersebut.

Zulkifli juga memberitahu, pihak MAIWP juga telah mengadakan perbincangan dengan waris si mati dan sekiranya dibenarkan, semua jenazah itu akan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 2, di sini.

Tambah beliau, MAIWP juga telah menetapkan 18 Julai ini sebagai tarikh untuk menjalankan kerja-kerja pemindahan kubur tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain