suria

Imej Jabatan Kastam Tercalar KP Kastam Salahkan Media

KUCHING: Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf pada Isnin menempelak media yang dianggapnya sebagai punca imej jabatan itu terjejas.

Merujuk kepada laporan beberapa kes berprofil tinggi, beliau berkata media suka "mencari kontroversi" dengan paparan berita yang negatif menyebabkan beliau kini mengamalkan sikap berdiam diri.

"Saya kini 'media shy'," katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kastam Sarawak, di sini.

Katanya beliau juga sedang melakukan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan integriti jabatan itu dan mahu warga Kastam melakukan transformasi segera bagi memperbaiki sebarang kelemahan.

Pada majlis itu seramai 92 warga Kastam Sarawak menerima anugerah masing-masing.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Alice Wee yang membuat liputan majlis tersebut meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan Mohamed Khaled menggunakan majlis rasmi untuk mengkritik media.

"Kami kecewa kerana media membuat laporan berasaskan fakta, dan adalah tidak adil menyalahkan media apabila imej mereka tercalar," katanya.

Beberapa wakil media termasuk dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang berasa terkejut dan kesal dengan kenyataan Mohamed Khalid bertindak meninggalkan majlis ketika beliau masih berucap. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain