suria

Guan Eng Nafi Hantar SMS Mengenai Pemberian Duit Kepada Peserta Bersih 2.0

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pulau Pinang pimpinan DAP pada Isnin menafikan pembabitan mereka dalam penghantaran SMS (khidmat pesanan ringkas) mengenai pemberian duit elaun untuk peserta demonstrasi "Bersih 2.0" minggu lepas.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri tidak pernah menghantar SMS berkenaan kepada sesiapa dan berasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian.

"SMS itu bertujuan untuk memburuk-burukan kerajaan pakatan dan kerajaan negeri amat kesal dengan tindakan pihak yang bertanggungjawab ke atas penyebaran SMS itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penganugerahan pingat kebesaran bersempena dengan harijadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas yang ke-73, di sini Isnin.

Kandungan dalam SMS itu: "Saudara-saudara peserta demonstrasi Bersih yang belum terima duit elaun RM300 seorang dijemput datang ambil duit di pejabat Ketua Menteri tingkat 28, Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) pada pukul 4 petang ini. Sekretariat telah sediakan RM350 ribu untuk saudara di Pulau Pinang".

Lim berkata beliau mendapat tahu mengenai SMS tersebut pada pagi ini daripada seorang Exco kerajaan negeri yang menerima SMS tersebut daripada orang yang tidak dikenali.

Sementara itu, Ketua Menteri berkata pihak kerajaan negeri akan mengadakan Majlis Penerangan Rakyat di Tapak Ekspo di Seberang Jaya malam ini yang bertujuan menerangkan kepada rakyat tentang perancangan kerajaan negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain