suria

Bersih 2.0: KPT Serah Kepada IPTA Bertindak Ke Atas Pelajar

SHAH ALAM: Kerajaan menyerahkan kepada pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pelajar yang terlibat dengan perhimpunan haram Sabtu lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau masih menunggu laporan daripada polis berhubung perkara berkenaan sebelum senarai pelajar itu diserahkan kepada universiti terbabit untuk tindakan selanjutnya.

"Terpulanglah kepada universiti berkenaan untuk mengambil tindakan terhadap pelajar mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pemenang pertandingan bola sepak Piala Menteri Pengajian Tinggi di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini malam Ahad.

Sementara itu Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar yang turut hadir, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan pembabitan pelajar atau warga kerja UiTM.

Bagaimanapun jika ada, tindakan tatatertib seperti ditamatkan perkhidmatan boleh dikenakan kepada warga kerja, katanya. Pada pertandingan itu, pasukan tuan rumah UiTM muncul johan dan menerima hadiah wang tunai RM30,000 selain piala dan hadiah iringan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anwar Tidak Cedera Serius

Artikel Lain