suria

PM Syukur Perhimpunan Haram Tidak Bawa Kerosakan Serius

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri melahirkan rasa syukur perhimpunan haram yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu tidak berakhir dengan kesan serius kepada rakyat dan juga harta benda.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau juga bersyukur kerana sebahagian besar rakyat khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur dan Lembah Klang tidak menyertai perhimpunan haram itu, membuktikan mereka tidak menyokong demonstrasi jalanan.

"Mereka (yang tidak menyertai perhimpunan haram) merupakan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian, dan mereka juga telah terima nasihat yang dititahkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor dan juga kerajaan.

"Saya ingin ucap tahniah kepada pasukan keselamatan khususnya polis yang telah bertindak untuk menyuraikan perhimpunan itu dengan sebaik-baiknya dan saya berharap apa yang telah berlaku hari ini dijadikan iktibar kepada rakyat Malaysia," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyampaikan hadiah Kejohanan Sukan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia di Stadium Negeri di sini, hari ini. -BERNAMA

Artikel Lain