suria

Gambaran Negara Aman Dan Harmoni Musnah Akibat Perhimpunan Haram

KUALA LUMPUR: Hasrat agensi-agensi pelancongan untuk memberi gambaran Malaysia sebagai sebuah negara aman dan harmoni kepada pelancong asing musnah selepas penganjur perhimpunan haram meneruskan agenda mereka semalam.

Industri pelancongan yang bergerak berdasarkan situasi dan keadaan terkini sesebuah negara juga mungkin berdepan dengan masalah sekiranya pelancong memilih untuk tidak mengunjungi negara ini.

Berikutan perhimpunan haram itu, rata-rata agensi pelancongan terpaksa membatalkan dan menangguh aktiviti yang disusun di sekitar ibu kota ekoran bimbang dengan keselamatan pelancong di bawah kelolaan mereka.

Pengarah Urusan Sri Sutra Travel Sdn Bhd Datuk Syed Mohd Razif Al-Yahya Syed Yassin berkata akibat perhimpunan itu, industri pelancongan perlu berusaha untuk mengembalikan keyakinan pelancong asing untuk ke negara ini.

Liputan meluas oleh media antarabangsa mengenai perhimpunan haram itu telah memberi gambaran buruk mengenai negara, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Beliau berkata walaupun perhimpunan itu hanya sehari, ia memberi kesan terhadap pelancong yang akan mempunyai pandangan buruk dan takut untuk jangka masa panjang sebelum memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka.

Dalam pada itu, Syed Mohd Razif berkata langkah berjaga-jaga telah diambil bagi mengelak pelancong di bawah jagaan agensinya tidak mengalami sebarang masalah dan mereka hanya menjalankan aktiviti di sekitar kawasan hotel penginapan mereka semalam.

Pada Sabtu, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata kementerian itu akan mengambil masa enam bulan untuk mengembalikan keyakinan pelancong asing terhadap keselamatan di Malaysia.

Sementara itu, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), yang dianggotai lebih 300 agensi pelancongan, berpendapat bahawa aktiviti yang membawa keburukan kepada ekonomi negara dan rakyat tidak sepatutnya diadakan.

Presidennya Mohd Ayub Hassan berkata Malaysia yang gah dikenali dengan budayanya sopan dan perpaduan yang erat selain menjadi antara negara yang paling kerap dilawati, sedikit sebanyak tercalar kerana perhimpunan itu.

"Penutupan banyak jalan-jalan utama bagi menyekat perhimpunan itu telah melumpuhkan banyak aktiviti pelancongan...ini merugikan terutama kepada agensi pelancongan bumiputera," katanya.

Beliau berkata BUMITRA, adalah antara yang telah menerima arahan awal daripada Kementerian Pelancongan agar memastikan keselamatan pelancong terjaga dan memastikan mereka tidak melawati kawasan 'panas' ketika perhimpunan itu.

Artikel Lain