suria

Khairy Terkejut Dilarang Masuk KL

PETALING JAYA: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak menyangka kepulangan dari misi Flotilla ke Gaza 'disambut' malam Khamis dengan larangan mahkamah memasuki Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Beliau tidak menjangkakan perkara seumpama itu akan berlaku berikutan pendirian pergerakan itu yang bertegas akan mengadakan perhimpunan Patriot pada hari yang sama Bersih 2.0 dijadualkan berlangsung.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai larangan berkenaan .

"Saya akan mengadakan mesyuarat exco Pemuda esok dan akan keluarkan kenyataan selepas itu," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Pada Khamis, polis Kuala Lumpur memperoleh perintah daripada mahkamah untuk menghalang 91 pemimpin daripada tiga kumpulan utama yang merancang untuk berhimpun pada Sabtu ini.

Perintah berkenaan melarang semua individu tersebut daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Bersih 2.0 dan Patriot supaya tidak hadir atau mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.

Seramai 66 orang invididu yang dinamakan dalam perintah larangan bagi kumpulan Bersih 2.0 termasuk pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan aktivis Hishamuddin Rais.

Manakala 14 orang daripada Perkasa pula termasuk Presidennya, Datuk Ibrahim Ali serta barisan pemimpin tertingginya iaitu Datuk Ab Rahman Ab Bakar dan Syed Hassan Syed Ali.

Polis turut mendapat perintah larangan bagi menghalang pemimpin Pemuda Umno yang merancang menganjurkan perhimpunan Patriot termasuk ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut disenaraikan adalah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya mengenai perintah larangan berkenaan.

"Buat masa ini, saya tidak ingin memberikan apa-apa komen sehingga selepas bertemu dengan peguam," ujarnya.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau hanya akan mengulas mengenai tindakan polis Kuala Lumpur memperoleh perintah daripada mahkamah untuk menghalangnya daripada berhimpun Sabtu ini, esok.

Katanya, dia akan mengadakan sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman dekat sini pada pukul 11 pagi Jumaat.

Artikel Lain