suria

Enam Orang Mati Rentung Rumah Terbakar Di Sandakan

SANDAKAN: Enam orang mati rentung selepas sebuah rumah di Kampung Jawa 2 di Batu 12 dekat sini terbakar awal Jumaat.

Lima mangsa adalah orang dewasa dan seorang lagi kanak-kanak.

Penguasa Bomba dan Penyelamat Sandakan Alias Abu berkata setakat ini pihaknya belum dapat mengenal pasti identiti mangsa.

Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti identiti mereka, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran membabitkan rumah tersebut pada pukul 1.15 pagi.

Katanya dua jentera bersama 18 anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal api pada pukul 2.41 pagi.

Menurutnya selepas kebakaran berjaya dikawal, mayat semua mangsa yang rentung ditemui di dalam rangka rumah yang musnah terbakar itu.

Beliau berkata keseluruhan struktur rumah itu musnah terbakar dengan tingkat atas rumah dua tingkat itu juga runtuh ke bawah.

Alias berkata punca kebakaran itu sedang disiasat dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat dihantar ke lokasi kejadian hari ini bagi menjalankan siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain