suria

Tiada Kegiatan Lanun Dicatatkan Di Selat Melaka Hingga Jun

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang aktiviti melanun dicatatkan di Selat Melaka sehingga Jun tahun ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata aktiviti pelanunan dapat dibanteras melalui Insiatif Rondaan Selat Melaka (MSP) yang membabitkan kerjasama empat negara pesisir yang terdiri daripada Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.

"Ini merupakan satu rekod yang baik kerana tidak ada satu pun aktiviti pelanunan dicatatkan di Selat Melaka pada tahun ini. Menurut Laporan Biro Maritim Aktiviti Lanun, sebanyak tiga kes dilaporkan tahun lalu.

"Pada 2009, sebanyak 10 kejadian lanun dicatatkan. Ini merupakan satu kejayaan untuk menjadikan Selat Melaka sebagai perairan yang aman,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean di Kementerian Pertahanan, pada Khamis.

Menurutnya, jika dahulu syarikat insurans maritim mengenakan premium yang cukup tinggi bagi kapal-kapal dagang yang melalui Selat Melaka.

“Tapi sejak rekod memperlihatkan program ini berjaya, maka premium telah dapat diturunkan.

"Ini juga akan memberikan nilai tambah bukan sahaja daripada aspek ketenteraan.

"Hal ini kerana ia memperkukuhkan sistem ekonomi antarabangsa dan memberi kenyakinan urusniaga kepada pelabur di keempat-empat negara tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengenai pencerobohan ruang udara Malaysia oleh tentera Singapura, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata pencerobohan tersebut hanya berlaku di Batuan Tengah disebabkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 yang memutuskan Pulau Batu Putih menjadi milik Singapura sementara Batuan Tengah dan Tubir Selatan merupakan hak Malaysia.

"Pencerobohan yang berlaku tidak bermakna ia menggangu-gugat keselamatan kita. Kedaulatan ruang angkasa tetap kita pertahankan. Ia hanya berlaku ketika tentera Singapura membuat latihan di kawasan Batu Putih yang merupakan kawasan mereka sementara Batuan Tengah merupakan ruang udara kita.

"Ia hanya berlaku di situ sahaja. Jawatankuasa Teknikal belum membuat sebarang keputusan. Beberapa perbincangan telah dijalankan. Sehingga kini setiap kali mereka lalu di situ kita buat hantar notis bantahan,” katanya.

Jun lalu, Ahmad Zahid, dalam jawapan bertulisnya kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar(BN-Rembau) di Dewan Rakyat, berkata sejumlah 2,508 pencerobohan ruang udara oleh pesawat tentera udara Singapura di ruang udara Malaysia dikesan sejak 2008, dan Malaysia telah mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan udara

Ahmad Zahid berkata bantahan diplomatik Malaysia terhadap pencerobohan pesawat udara republik itu memperlihatkan keprihatinan bahawa kerajaan sentiasa memantau semua pergerakan udara yang dilakukan oleh tentera Singapura.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain