suria

Pelajar Malaysia Luar Negara Junjung Kasih Titah Tuanku Mizan

KUALA LUMPUR: Beberapa persatuan pelajar Malaysia di luar negara pada Khamis menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di atas keprihatinan Seri Paduka bahawa perhimpunan haram boleh menjejaskan keharmonian negara.

Presiden Kelab Umno Luar Negara Cawangan Buffalo New York, Amerika Syarikat Muhammad Ali Halim Sirat berkata pihak penganjur perhimpunan harus menjunjung titah Seri Paduka kerana ia memberi banyak kesan jika dilakukan.

"Keprihatinan Seri Paduka jelas menunjukkan bahawa Seri Paduka amat mengambil berat akan kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata di tanah air," katanya dalam kenyataan di sini.

Presiden Malaysian Student Association (MySA) Philadelphia Nik Akmal Hareez berkata titah Tuanku Mizan harus dijunjung kerana perhimpunan itu boleh mendatangkan keburukan kepada negara.

"Seharusnya kita mengambil tindakan yang tepat dan optimum untuk memperbaiki permasalahan kecil yang timbul," katanya.

Presiden Pertubuhan Pelajar Malaysia Victoria University, New Zealand Nurul Nadiah Rahim berkata para pelajar sepatutnya memberi tumpuan kepada pengajian dan tidak terpengaruh dengan perhimpunan itu yang tidak memanfaatkan mereka.

"Apa yang penting ialah bentuk sumbangan yang boleh mereka tawarkan kepada negara selepas tamat pengajian kelak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain