suria

Moral Dan Pegangan Agama Harus Mantap Dengan Status Negara Maju - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat terus berusaha mempertahankan nilai moral dan pegangan agama masing-masing selepas negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata tidak ada ertinya jika Malaysia maju di bawah keruntuhan akhlak dan moral seperti yang berlaku di sesetengah negara maju di Barat.

Misalnya, katanya, masyarakat di sesetengah negara maju dapat menerima soal bersekedudukan antara pasangan tanpa berkahwin walaupun perbuatan itu bertentangan dengan agama dan nilai murni.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan perdana bertajuk "Mentransformasi Negara Melangkaui 2020" pada Kongres Profesor Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Dr Mahathir berkata penerapan nilai-nilai murni tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada ibu bapa sebaliknya ia perlu dijadikan agenda nasional negara melalui sistem pendidikan negara.

"Pada ketika itu, barulah boleh dikatakan sesebuah negara itu maju dengan bertamadun manusia yang hebat dan agung," katanya.

Terdahulu, pada sesi dialog selepas syarahan itu, Dr Mahathir berkata sistem pendidikan negara perlu dipinda dengan meletakkan pemantapan nilai murni dan moral sebagai antara elemen utama mendidik generasi muda.

Bagaimanapun, katanya, di dalam sistem itu sendiri ada pihak yang menyalahgunakannya sehingga menerapkan fahaman politik dan ideologi masing-masing ketika sesi pembelajaran.

"Kita ada kelas pendidikan moral dan nilai murni tetapi biasanya bukan nilai murni yang diajar sebaliknya sesetengahnya bawa fahaman politik, isu perkauman dan ideologi yang sekaligus tidak menerapkan nilai murni kepada bakal pemimpin negara.

"Kini sikap melekehkan pendidikan nilai murni sudah mula menunjukkan akibat dengan berlakunya jenayah seperti bayi dibuang ke dalam tong sampah dan juga ada bapa yang sanggup merogol anaknya sendiri, saya tak pernah mendengarnya sebelum ini, tetapi kini sudah berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain