suria

KPT Tingkat Pemantauan IPTS Langgar Peraturan

KOTA BARU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini meningkatkan pemantauan terhadap institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi memastikan mereka memenuhi semua piawaian dan peraturan yang ditetapkan.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Hou Kok Chung berkata sehingga Mei lepas, beberapa IPTS telah dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM670,000, selain denda di mahkamah berjumlah RM185,000 mengikut Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

"Kementerian amat serius dalam memastikan pelajar yang mengikuti pengajian, sama ada di IPTA atau IPTS memperolehi pendidikan dan latihan berkualiti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Bersama IPTS Zon Timur, di sini Khamis.

Katanya antara kesalahan itu termasuk memindahkan premis tanpa kebenaran, mengambil tenaga pengajar tanpa permit dan mengendalikan kursus sebelum mendapat kelulusan.

"IPTS yang masih degil atau mengambil mudah untuk mematuhi peraturan-peraturan di bawah akta itu, walaupun nampak kecil dan remeh, akan dikenakan tindakan," katanya.

Hou berkata kementeriannya juga bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan terhadap kolej universiti swasta yang menyalahgunakan permit kemasukan pelajar.

Mengulas perkara berkaitan, Hou berkata kementerian memperkenalkan Sistem Pengukuran Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) untuk mengukur kualiti urus tadbir, program serta graduan yang dihasilkan IPTS.

Setakat ini, 307 daripada 488 IPTS telah menyertai program itu manakala 241 IPTS yang layak sedang diaudit dan dijangka selesai pada akhir bulan ini, katanya.

Beliau berkata kerajaan juga meluluskan penubuhan empat kampus universiti luar negara iaitu Manipal International University Malaysia, University Of Southampton, Raffles University Iskandar dan Netherlands Maritime Institute.

Ditanya mengenai isu sebuah kolej sains perubatan di Cyberjaya yang melanggar syarat kerana mengambil pelajar melebihi had yang dibenarkan baru-baru ini, Hou berkata isu itu telah selesai apabila kolej berkenaan menempatkan sebahagian pelajar di kolej lain.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain