suria

Kerajaan Tubuh Pusat Pengurusan Sumber Manusia

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini dalam proses menubuhkan sebuah pusat pengurusan sumber manusia bagi membantu majikan, terutamanya dalam industri kecil dan sederhana (PKS), untuk menguruskan modal insan masing-masing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam berkata pusat itu yang akan dikenali sebagai Pusat Pengurusan Sumber Manusia,akan diletakkan di bawah Perbadanan Sumber Manusia Bhd (PSMB) dan dijangka beroperasi menjelang akhir tahun.

Beliau berkata langkah itu ialah untuk mengoptimumkan fungsi PKS dan membenarkan mereka memajukan pekerja sendiri serta melihat mereka dengan pandangan positif dan bukannya negatif.

"Sesetengah daripada mereka tidak tahu mengenai undang-undang negara. Mereka tidak tahu untuk mengekalkan pekerja mereka. Inilah antara isu yang memerlukan pendidikan yang wajar dan sesuai," kata beliau pada majlis Hari Terbuka Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia (GHCM) Telekom Malaysia Bhd di sini Khamis.

Subramaniam berkata kira-kira 92 peratus daripada pekerja bekerja di bawah PKS.

"Pengurusan sumber manusia di kalangan majikan tidak mencapai tahap profesional," kata beliau.

Beliau berkata yang isu ini penting kerana ia boleh menjejaskan output pekerja dan sehubungan itu secara langsung memberikan kesan kepada produktiviti dan keuntungan majikan.

"Kerajaan mahu membantu mereka untuk jangka panjang. Dengan adanya pusat ini, adalah diharapkan tahap pengurusan modal insan akan meningkat," kata beliau.

Beliau memuji Telekom Malaysia kerana menganjurkan acara itu, sambil berkata yang inisiatif syarikat adalah seiring dengan rancangan strategik yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia yang menyokong agenda pembangunan negara.

"Dengan rentak pembangunan teknologi yang pantas, dimensi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah menjadi tarikan utama untuk majikan mendapatkan pekerja berkemahiran dalam bidang kandungan dan aplikasi ICT.

"Sehubungan itu, berdasarkan kepada perubahan ekonomi hasil daripada ICT dan teknologi, pencari kerja perlu memenuhi keperluan ekonomi semasa, di mana beberapa keperluan faktor tertentu perlu ditekankan seperti keupayaan, kemahiran, pengetahuan dan sikap," kata beliau.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain