suria

Bersih Boleh Guna Stadium Di Negeri Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dicadang mengadakan perhimpunan Sabtu ini di stadium negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Bersih boleh membuktikan keupayaan mereka di empat buah negeri yang diperintah oleh PR tanpa perlu mengganggu keamanan bandaraya Kuala Lumpur.

“Jika mereka ingin memperlihatkan kekuatan untuk mengadakan perhimpunan biarlah di negeri yang mereka perintah.

“Di Pulau Pinang ada stadium, di Kelantan lebih baik atau di Kedah mahupun di Selangor... mereka boleh pilih. Lain-lain negeri itu diperintah Barisan Nasional (BN). Biarlah kami mentadbir dan memerintah di situ,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean di Kementerian Pertahanan, pada Khamis.

Pada Rabu, Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga mengumumkan bahawa perhimpunan Sabtu ini akan diadakan di Stadium Merdeka.

Bagaimanapun sehingga kini, pihak polis belum mengeluarkan sebarang permit bagi memberi kebenaran kepada Bersih untuk mengadakan perhimpunan mereka di stadium berkenaan.

Mengenai dana daripada pihak luar yang diperoleh oleh Bersih bagi membiayai perhimpunan mereka Sabtu ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata pihak polis bertanggungjawab perkara tersebut.

“Saya tak pasti tentang soal dana. Saya dapat tahu mereka telah menempah banyak bilik-bilik hotel. Jika tidak datang mereka akan hilang wang deposit. Soal dana itu saya tak nak komen biarlah pihak polis menyiasat perkara ini…

“Saya tak mahu menuduh…Kalau benar polis akan memaklumkan kepada umum. Sepatutnya masalah politik dalam negara diselesaikan oleh rakyat negara ini sendiri tanpa perlu ada campur tangan pihak luar,” katanya.

Jelasnya, jika benar perkara itu berlaku beliau bimbang Bersih akan mengikut telunjuk pihak luar yang mempunyai kepentingan untuk campur tangan dalam soal politik negara ini.

“Pada hemat saya, kalau mereka berhasrat untuk melihat sistem pilihan raya dibuat secara bersih, mereka perlu bersihkan diri mereka terlebih dahulu…tanpa perlu mencampur adukkan elemen asing dengan keperluan untuk menjaga hal ehwal politik negara ini,” katanya.

Baru-baru ini bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar tampil mendedahkan bahawa pada 27 Jun hingga 2 Julai lalu, Pengarah Projek Burma/Inisiatif Asia Tenggara, Maureen Aung Thwin telah bertemu dengan pemimpin pembangkang serta pertubuhan yang bernaung di bawah Bersih.

Menurut Chandra, pertemuan tersebut dipercayai bagi membincangkan mengenai isu dana kepada Bersih kerana Projek Burma/Inisiatif Asia Tenggara dikendalikan Open Society Foundations (OSF), yang mana Ambiga sendiri baru-baru ini mengakui Bersih menerima dana daripada OSF.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain