suria

Pindaan Kedua Akta Hakcipta 1987 DiJangka Ke Parlimen Oktober Ini

KUALA LUMPUR: Akta Hakcipta 1987, yang dipinda Disember lepas, akan ke Parlimen Oktober ini bagi pindaan kali kedua merangkumi isu bayaran royalti bagi memastikan kebajikan penggiat seni tanah air terjamin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pindaan kali kedua itu sepatutnya dilakukan bulan lepas, namun terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada pembentangan akta lain, termasuk Akta Perihal Dagangan 1972.

"Selepas (akta itu) dibentangkan di Parlimen, ia akan dibentangkan di Dewan Negara sebelum dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong (Tuanku Mizan Zainal Abidin) untuk digazetkan, dan saya jangka paling lewat Jun tahun depan (akan berkuat kuasa)," katanya selepas merasmikan Hari Himpunan Bintang anjuran bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan akhbar Kosmo di sini Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe dan Datuk Rohani Abdul Karim serta lebih 150 artis tempatan.

Ismail Sabri berkata pindaan akta berkenaan melibatkan beberapa peraturan baru seperti kutipan royalti oleh badan pengutip royalti, yang perlu berdaftar dengan kementerian, dan kadar minimum kutipan.

Beliau berkata badan berkenaan juga dikehendaki mendapatkan persetujuan penggiat seni sebelum mereka mengutip royalti.

"Ia sama ada melalui persetujuan, atau surat perlantikan dan sebagainya. Ini yang akan kita lakukan dan mereka juga perlu telus dari segi jumlah kutipan dan di mana kutipan dilakukan," katanya yang menambah pada masa sama, Tribunal Hak Sipta akan diaktifkan semula dan peranannya diperluas.

"Sebelum ini ada Tribunal Hak Cipta, tetapi saya difahamkan oleh artis-artis sewaktu perjumpaan tadi, mereka tidak tahu pun tentang kewujudan tribunal berkenaan," katanya sambil menjelaskan penggiat seni tanah air boleh membuat sebarang tuntutan, termasuk isu royalti kepada tribunal itu.

Ismail Sabri turut menggesa penggiat seni berdaftar dengan MyIPO bagi memastikan hak cipta masing-masing, termasuk lagu, terjamin.

"Sekiranya lagu mereka dicuri, dan kes berkenaan ke mahkamah, sijil yang dikeluarkan oleh MyIPO boleh digunakan sebagai bukti bahawa lagu itu adalah ciptaan mereka," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Harun Salim Bachik, yang menyokong pindaan berkenaan, mahu ia diperluaskan kepada penggiat seni tanah air dalam bidang lakonan.

"Kita selalu bercerita tentang Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di mana filemnya disiarkan berulang kali.

"Di situ, (Allahyarham) boleh mendapat royalti yang sepatutnya disalurkan kepada warisnya, tetapi bagaimana (pula) usaha yang kita boleh lakukan untuk mereka yang masih hidup lagi, macam Datuk Sarimah dan Tan Sri Jins Samsudin," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain