suria

Masjid Negara Nafi Jadi Lokasi Forum Mengenai Demonstrasi

KUALA LUMPUR: Masjid Negara pada Rabu menafikan maklumat dalam sebuah laman web kononnya ia akan menjadi tuan rumah Forum Perdana bertajuk "Siapa Kata Demonstrasi Itu Haram" malam Khamis.

Imam Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammmad berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan secara langsung daripada penganjur untuk mengadakan forum itu.

"Penganjur iaitu Pertubuhan Ilmuan Muda Malaysia (ILMU) serta rakan penganjur mereka iaitu Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Pertubuhan Kebajikan Al-Qalam dan Badan Persatuan Perkhidmatan Penerangan Islam tidak pernah menghubungi mana-mana pegawai mahupun petugas kami.

"Oleh yang demikian, pihak pentadbiran Masjid Negara dengan ini menafikan bahawa akan berlangsungnya Forum Perdana seperti tersebar di laman sesawang itu dan tidak pernah memberi sebarang kebenaran untuk meluluskan program itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Syaikh Ismail berharap orang ramai tidak mempercayai isi kandungan yang mengaitkan Masjid Negara dengan laman web itu.

"Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku masalah dan mencemarkan nama baik Masjid Negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain