suria

Kerajaan Sedia Jumpa Penganjur Demonstrasi Jalanan:Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan sedia menemui penganjur demonstrasi jalanan yang dicadangkan 9 Julai ini berhubung hasrat mereka mengadakan perhimpunan di stadium, asalkan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata beliau difahamkan, pihak terbabit ingin mengadakan pertemuan dengan kerajaan bagi menimbang kemungkinan mengadakan perhimpunan itu di stadium.

"Kita sedia untuk berjumpa dengan pihak berkenaan supaya perhimpunan itu diadakan di stadium dengan syarat mereka akan pergi dengan aman, mengadakan perhimpunan dengan aman dan mereka akan balik dengan aman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia di pejabatnya di sini Selasa.

Penganjur demonstrasi jalanan 9 Julai ini kini mengubah rancangannya untuk mengadakan perhimpunan mereka di stadium selepas pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Selasa.

Selepas menghadap Tuanku Mizan pada Selasa, Ambiga dilaporkan berkata bahawa rancangan mengadakan demonstrasi jalanan Sabtu ini dibatalkan, sebaliknya mereka bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengadakannya di stadium.

Najib berkata jika perhimpunan itu diadakan di stadium dan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, maka pihak penganjur demonstrasi itu yang akan dipertanggungjawabkan "atas segala yang boleh dan akan berlaku yang boleh menyebabkan sama ada huru-hara atau kerosakan harta benda atau pun boleh menyebabkan mana-mana individu tercedera atau pun lebih buruk daripada itu."

"Kita harap bahawa mereka akan menepati janji mereka supaya segala-galanya berjalan dengan baik, dengan aman dan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Ditanya sama ada penganjur perhimpunan itu sudah membuat permohonan kepada kerajaan, Perdana Menteri berkata setakat ini pihak berkuasa belum menerimanya.

"Kita telah buat tawaran tetapi ia tertakluk kepada syarat. Perkara pokok ialah semuanya mesti diadakan secara aman," kata Perdana Menteri.

Ditanya sama ada Umno akan turut mengadakan perhimpunan Sabtu ini, Najib yang juga Presiden Umno, berkata parti itu tidak akan berbuat demikian.

"Kalau Umno hendak respond, kita boleh buat perhimpunan yang lebih besar, demonstrasi yang lebih besar," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain