suria

CCTV Di Bangunan SPRM Wilayah Persekutuan Sering Gagal Berfungsi

KUALA LUMPUR: Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Mohamad Yusuff Akope memberitahu Mahkamah Koroner di sini pada Rabu bahawa pernah beberapa kali kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan suruhanjaya itu gagal berfungsi.

Beliau berkata CCTV yang dipasang pada 29 Nov 2010 dan diaktifkan sepenuhnya pada Februari 2011, seringkali tergendala dan adakalanya rakaman dalam CCTV itu tidak jelas.

Mohamad Yusuff, 52, yang merupakan saksi keempat dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed berkata, beliau juga pernah menerima laporan telah berlaku kerosakan pada CCTV berkenaan kerana peralatan itu tidak dapat merakam gambar.

"Pengawal keselamatan iaitu Ismail Sedek dan Mohd Romizi Abdul Rahman, yang ditugaskan untuk mengawal bilik kawalan CCTV juga tidak mahir mengendalikan peralatan itu dan latihan asas hanya diberikan oleh vendor yang memasang CCTV berkenaan," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Mohamad Yusuff memberitahu prosiding bahawa selepas kematian Ahmad Sarbaini pada 6 April lepas, beliau diberitahu dua daripada tiga CCTV itu tergendala pada hari kejadian, dan pada hari sebelumnya, seolah-olah rakaman di dalam CCTV dihentikan oleh seseorang.

"Saya mendapat laporan siasatan dari unit keselamatan yang memaklumkan kegagalan CCTV itu berfungsi disebabkan kesilapan manusia.

"Menurut laporan itu, Ismail ingin menekan butang "rewind" untuk melihat rakaman sebelumnya tetapi tertekan butang "on" dan "off" dan perbuatan itu tidak disedarinya, sebaliknya disedari oleh pengawal keselamatan kedua, Romizi," katanya ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Terdahulu, ASP Fauziah Che Mat dari Makmal Forensik, Polis Diraja Malaysia, memberitahu prosiding dua daripada tiga CCTV yang terdapat di bangunan SPRM itu tidak beroperasi secara normal pada 5 April dan 6 April, di mana rakaman melalui CCTV itu tidak dapat diperoleh.

"Saya mendapati rakaman dua CCTV itu tidak dapat diperoleh kerana ia diganggu perjalanan rakaman oleh seseorang yang agak mahir menggunakan CCTV," katanya.

Fauziah yang bertugas di Seksyen Audio dan Video, Makmal Forensik, Cheras, berkata hanya satu CCTV yang beroperasi pada 5 dan 6 April yang dapat merakam imej Ahmad Sarbaini yang tiba di pondok pengawal SPRM pada 8.30 pagi dengan menunggang motosikal.

Katanya rakaman itu menunjukkan Ahmad Sarbaini seterusnya mengambil pas pelawat untuk masuk ke bangunan SPRM namun rakaman di dalam bangunan SPRM tidak dapat diperoleh kerana dua CCTV dalam bangunan itu tidak berfungsi.

Ketika rakaman itu ditayangkan di dalam mahkamah, isteri Ahmad Sarbaini, Masiah Manap dan anggota keluarga yang hadir di mahkamah untuk mengikut prosiding, dilihat menangis.

Ismail, yang merupakan pengawal keselamatan di SPRM Wilayah Persekutuan, telah mengesahkan beliau masuk ke dalam bilik kawalan CCTV yang terletak di tingkat bawah bangunan berkenaan dan menekan butang CCTV berkenaan pada 5 April, sehari sebelum kejadian.

"Saya tidak tahu tekan butang lain atau tidak, tetapi selepas tekan satu butang seperti yang selalu saya buat, saya nampak gambar yang ada pada CCTV itu tidak bergerak.

Ismail, 55, saksi keenam, berkata sudah menjadi kebiasaan beliau untuk masuk ke bilik kawalan CCTV itu sekiranya ada kelapangan.

Beliau berkata sesiapapun boleh masuk ke bilik berkenaan kerana bilik itu tidak memerlukan kad akses dan tidak berkunci.

Ismail memberitahu prosiding beliau ada berjumpa dengan Ahmad Sarbaini ketika Allahyarham datang ke pejabat itu pada 6 April.

"Ketika itu saya berada di kaunter pertanyaan di ruang legar lobi di tingkat satu bangunan itu dan saya nampak Allahyarham agak gelisah ketika dia duduk di sofa untuk menunggu Penolong Penguasa SPRM, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad.

"Saya juga melihat Allahyarham seperti ada masalah dan saya nampak dia membuka fail dari beg berwarna hitam yang dibawanya. Dia membuka fail berkenaan dan dilihat menepuk dahi beberapa kali," kata Ismail. - BERNAMA

Artikel Lain