suria

Beberapa Timbalan Menteri Setuju Penganjur Buat Perhimpunan Di Stadium

KUALA LUMPUR: Keputusan penganjur demonstrasi jalanan 9 Julai mengubah rancangannya kepada perhimpunan di stadium mendapat reaksi positif daripada beberapa timbalan menteri.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M. Saravanan berkata meskipun pihak penganjur bersetuju untuk mengadakan perhimpunan di stadium namun soal keselamatan perlu diberi keutamaan.

"Saya bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa perhimpunan itu perlu dijalankan secara aman, kerana tidak semua rakyat yang menyokong demonstrasi jalanan itu.

"Kelonggaran ini telah membuktikan kerajaan sentiasa membuka peluang untuk mereka (penganjur) mengadakan perhimpunan walaupun kita tidak mengetahui matlamat sebenar golongan ini," katanya kepada Bernama di sini, pada Rabu.

Pada Selasa, pengerusi jawatakuasa penganjur perhimpunan Datuk Ambiga Sreenevasan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Ambiga pada sidang media pada Rabu mengumumkan bahawa penganjur merancang untuk mengadakan perhimpunan itu di Stadium Merdeka walaupun mereka belum memohon permit polis bagi tujuan itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, sebelum ini keputusan penganjur mengadakan demonstrasi jalanan mendatangkan kebimbangan di kalangan orang awam namun keputusan itu adalah yang terbaik.

"Kita tidak menghalang mereka (Bersih) membuat perhimpuan di stadium kerana tidak mengganggu dan menyusahkan orang ramai, asalkan perhimpunan itu dibuat secara aman.

"Kerana sebelum ini banyak laporan polis dibuat, dan saya difahamkan dalam bulan ini sahaja kita kerugian RM1.8 bilion yang melibatkan pemandu teksi, pemilik hotel dan pengusaha kedai makanan," katanya.

Pada Ahad lalu Tuanku Mizan bertitah demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany berkata tidak dinafikan dalam sesebuah negara pasti ada pihak yang tidak bersetuju dengan cara pemerintahan negara, namun ia perlu menggunakan saluran yang betul.

"Tidak perlu kita mencabar antara satu sama lain, sekiranya mereka (Bersih) ingin memperjuangkan ketidakpuasan mereka, seharusnya semua pihak harus bertanggungjawab dalam isu ini.

"Bagaimanapun, saya berterima kasih dengan pengerusinya (Ambiga) kerana mendengar nasihat Tuanku Mizan dan prihatin terhadap sensitiviti rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain