suria

Tuntutan Penganjur Perhimpunan Sepatutnya Dibawa Ke Parlimen: Noh

SABAK BERNAM: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, penganjur perhimpunan 9 Julai ini sepatutnya menyuarakan tuntutan mereka di Parlimen dan bukannya berhimpun di jalanan mahupun stadium.

Beliau berkata, Parlimen dilihat sebagai saluran paling sesuai untuk berhujah mengenai tuntutan itu untuk dijawab oleh menteri bertanggungjawab.

"Sekarang ada ramai anggota pembangkang di Parlimen dan mereka bolehlah membuat usul dan seterusnya membahaskan tuntutan itu jika dibenarkan.

"Jika mereka tidak berbuat demikian, maka saya lihat ini seolah-olah menafikan suara rakyat yang datang daripada anggota pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis perjumpaan pemimpin Cuepacs dengan pekerja sektor awam Sabak Bernam di sini, hari ini.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pengerusi penganjur perhimpunan itu, Datuk S.Ambiga hari ini bahawa mereka membatalkan hasrat mengadakan demonstrasi jalanan Sabtu ini dan sebaliknya bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengadakannya di stadium.

Ambiga berkata, keputusan itu dicapai selepas pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara hari ini.

Mengulas lanjut, Noh berkata, langkah penganjur perhimpunan yang tetap mahu berkumpul di stadium menunjukkan seolah-olah mereka menghina dan memandang rendah dengan kebolehan anggota Parlimen pembangkang untuk membahaskan tuntutan mereka di Parlimen.

Di KUALA LUMPUR, Wanita Umno melahirkan rasa kesal dengan sikap Ambiga kerana cuba berdolak dalik serta memperlekehkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan hasrat mengadakan perhimpunan haram itu.

Penolong Setiausahanya, Noorhaiza Mariena Mat Ramli berkata, tindakan Ambiga mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong hari ini membuktikan bahawa beliau derhaka terhadap titah perintah Tuanku sebelum ini yang menggesa supaya perhimpunan itu dibatalkan.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, kenyataan Ambiga bahawa keputusan mengenai perhimpunan haram itu akan dibuat selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong jelas menunjukkan keangkuhan beliau selain berbentuk ugutan supaya mereka dibenarkan menghadap Tuanku sedangkan perkara itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diselesaikan. - BERNAMA

Artikel Lain