suria

Titah Khas Yang Di-Pertuan Agong Peringatan Terakhir

KAJANG: Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung perhimpunan haram pada 9 Julai ini merupakan peringatan terakhir kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata titah Tuanku Mizan jelas menunjukkan betapa seriusnya perkara itu kerana ia boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian serta imej negara di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata perkembangan dan agenda perhimpunan itu, yang tidak sihat sehingga menjadi bahan berita antarabangsa, tidak menyenangkan Yang di-Pertuan Agong sehingga Seri Paduka terpaksa mengeluarkan titah khas bagi menyedarkan rakyat.

"Ini menunjukkan bahawa perkara ini serius. Saya berharap agar rakyat dapat melihatnya secara serius kerana tak mungkin Tuanku bertitah begitu rupa, (begitu juga) Raja-Raja kita yang lain selain ingatan-ingatan daripada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan ibu pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)dan melancarkan Skuad 1Malaysia di sini Isnin.

Pada Ahad, Yang di-Pertuan Agong bertitah menyeru rakyat negara ini tidak terlalu terikut-ikut dengan amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu dipertahankan semua pihak.

Seri Paduka bertitah bahawa sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun perlu menyelesaikan permasalahan yang timbul secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.

Hishammuddin, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata titah khas Tuanku Mizan itu tepat pada masanya ketika pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan sendiri terus memujuk dan menghasut orang ramai agar menyertai perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan itu.

Sultan dan Raja-Raja Melayu juga diberi taklimat berhubung kait dengan aktivi gabungan NGO itu yang cuba memporak-perandakan kestabilan negara, katanya.

Hishammuddin berkata polis sedia menghadapi anasir subversif dengan kaedah tersendiri termasuk menahan mereka yang terlibat di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada perkara lebih serius berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata titah Tuanku Mizan berhubung perhimpunan haram itu harus diberi perhatian pihak yang merancang berbuat demikian.

Beliau berkata mana-mana pihak termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil seharusnya mengadakan perbincangan dan dialog secara aman dalam prinsip kesederhanaan bagi mengatasi sebarang isu mengenai pilihan raya.

"Isu itu (pilihan raya) tidak harus dipolitikkan khususnya oleh parti-parti pembangkang yang dilihat mulai tidak berpuas hati selepas mereka mengalami kekalahan demi kekalahan dalam beberapa pilihan raya kecil," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini.

Koh, yang juga Presiden Gerakan, berkata pihak pembangkang dilihat akan membantah kemenangan lawannya sekiranya mereka mengalami kekalahan dalam sebarang pilihan raya sejak 30 tahun lepas dan mereka hanya berpuas hati apabila mereka menang.

"Apabila pembangkang iaitu Lim Kit Siang (DAP) menang besar di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 2008, mereka diam tetapi kita (Barisan Nasional) kalah tetap tidak marah kepada rakyat dan menerima kekalahan itu," katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta rakyat supaya sedar bahawa penganjur perhimpunan haram tidak ikhlas dalam menyelesaikan tuntutan mereka yang kononnya mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

Timbalan Presiden MCA itu berkata rakyat tidak boleh membiarkan diri mereka menjadi kuda tunggangan pihak pembangkang dalam mencapai hasrat mereka untuk menumbangkan kerajaan.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memanggil Pengerusi Bersih Datuk S. Ambiga untuk berunding mengenai tuntutan mereka, tetapi ditolak dengan angkuh oleh mereka.

"Ini dapat kita lihat mereka lebih suka buat demonstrasi daripada menyelesaikan masalah, rakyat perlu lihat sekarang siapa yang mahu dan bersedia selesaikan masalah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memorandam antara Kementerian Kesihatan dan Universiti Tunku Abdul Rahman di kampus Utar Sungai Long di sini.

Katanya adalah mustahil bagi penganjur itu menepati janji bahawa perhimpunan itu akan dilakukan secara aman kerana ada banyak anasir negatif yang akan mengambil kesempatan dan melakukan provokasi.

"Demonstrasi jalanan bukanlah jalan penyelesaiannya sebab kita ada saluran yang betul untuk selesaikan masalah," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain