suria

Tiada Peserta Program Perlindungan Saksi Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Tidak ada peserta Program Perlindungan Saksi negara ditempatkan di negara lain kerana Malaysia tidak menandatangai sebarang perjanjian dengan negara-negara luar mengenainya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata oleh itu Unit Perlindungan Saksi tidak melakukan penempatan peserta ke negara-negara lain kerana tidak dapat menjamin keselamatan peserta program tersebut.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Mumtaz Md Nawi yang ingin tahu sama ada saksi di bawah program itu di tempat di negara ketiga, dan mengenai keselamatan mereka, pada persidangan Dewan Negara di sini, Selasa.

Liew berkata beberapa orang saksi telah diterima masuk sebagai peserta program tersebut, dan perlindungan yang diberikan kepada setiap peserta adalah berbeza berdasarkan penilaian tahap ancaman yang telah dibuat dan juga keperluan setiap kes yang berbeza.

Selain itu, perbelanjaan kerajaan dalam pelaksanaan Program Perlindungan Saksi adalah pada tahap minimum kerana kebanyakan kemudahan diperolehi dengan mendapatkan bantuan agensi kerajaan lain seperti kemudahan rumah perlindungan, pusat latihan dan latihan kepakaran, katanya.

"Untuk tujuan keselamatan, jumlah individu atau organisasi yang terlibat serta jumlah sebenar perbelanjaan tidak boleh didedahkan berdasarkan Peruntukan Seksyen 17(1) Akta Perlindungan Saksi 2009," katanya.

Liew berkata saksi yang dimasukkan ke program itu antaranya terbabit dalam kes-kes jenayah serius dan berat yang melibatkan kepentingan awam.

Katanya, peruntukan Seksyen 8 dan 9 Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) akan digunakan sebagai garis panduan manakala penilaian ancaman pula akan dibuat dengan mengambil kira kepentingan keterangan saksi dan perbelanjaan yang akan digunakan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos pula berkata pindaan Peraturan-peraturan Industri Pelancongan (Pindaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) (Pindaan) 2010 dengan memasukkan Peraturan 6(1)(n) telah memastikan semua syarikat pengendalian pelancongan mematuhi arahan larangan perkongsian bilik di antara pemandu pelancong dan pemandu bas yang berlainan jantina.

Pindaan peraturan yang dikuatkuasakan pada 1 April 2010, menggariskan pemegang lesen hendaklah mematuhi apa-apa syarat lain sebagaimana yang ditentukan oleh Pesuruhjaya dari semasa ke semasa, katanya menjawab soalan Senator Pau Chiong Ung. Pau ingin tahu mengenai aduan pemandu pelancong yang diminta berkongsi bilik dengan pemandu bas.

Beliau juga berkata dakwaan Persatuan Pemandu Pelancong Wanita Malaysia yang pemandu pelancong wanita terpaksa berkongsi bilik dengan pemandu bas adalah tidak benar.

Daripada 724 aduan yang diterima kementerian sejak lebih dua tahun lepas, tidak ada satu pun aduan mengenai kes berkongsi bilik seperti yang didakwa, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain